Categories : Sukan

 

GAMBAR fail atlet olahraga negara, Nurul Faizah Asma Mazlan ketika mewakili Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Bukit Jalil pada November 2012. – Foto NSTP/Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Nurul Faizah Asma Mazlan percaya pencabar utama negara bagi acara 4x100m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah Thailand, selain Vietnam.

Pada Kejohanan Balapan dan Padang Asia (ATF) 2017 di India minggu lalu, barisan atlet negara termasuk Nurul Faizah tidak mengecewakan apabila menduduki tempat kelima dengan catatan rekod baharu kebangsaan, 45.18s.

Selain Nurul Faizah, rangkaian 4x100m negara pada temasya di Stadium Kalinga, Odisha itu adalah Siti Fatima Mohamad, S Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli.

Kuartet Thailand yang diperkuatkan oleh On-Uma Chattha, Kanyarat Pakdee, Tassaporn Wannakit dan Thipat Supawan menduduki tangga keempat dengan catatan 44.74s.

Emas bagi acara ini menjadi milik Kazakhstan dengan catatan 43.53s, manakala perak diraih China (44.50s) dan gangsa, India (44.57s).

“Secara peribadi, saya lihat Thailand dan Vietnam adalah pencabar utama Malaysia di Sukan SEA bulan depan,” kata Nurul Faizah, 26, yang menggantikan Shereen Samson Vallabouy pada kejohanan ATF di India itu.

Pada temasya Sukan SEA Singapura 2015, pingat emas dimenangi rangkaian Thailand yang dibarisi Supawan, Khanrutai Pakdee, Phatsorn Jaksuninkorn dan Wannakit dengan catatan 44.27s.

Perak pula dimenangi kuartet Vietnam (44.77s) manakala Malaysia yang ketika itu diwakili Siti Fatima, Zaidatul Husniah, S Komalam dan Noor Amira Mohamad Nafiah (45.41s) meraih gangsa.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp