Categories : Semasa

 

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bekerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memerangi penyeludupan minyak masak subsidi dari negara ini ke Thailand.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata penguatkuasaan lebih ketat di sempadan Malaysia-Thailand perlu dilaksanakan bagi memerangi masalah itu yang dilihat tidak berkesudahan.

“Sempadan Malaysia-Thailand dari Jeli sehingga ke Pengkalan Kubor menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan aktiviti penyeludupan.

“Mereka juga menggunakan jalan tikus yang sukar dikesan menyebabkan aktiviti itu sukar untuk dibendung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Pengguna di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, di sini, hari ini.

Hamzah turut menganggap penyeludup hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan bekalan untuk rakyat di negara ini.

“Mereka yang menyeludup barangan Malaysia terutama minyak bersubsidi dianggap tidak mempunyai semangat patriotisme dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan BH Online semalam mengenai minyak masak paket pajet satu kilogram (kg) dan minyak masak tidak bersubsidi keluaran Malaysia didapati mudah dibeli di sempadan sebelah Thailand yang sekali gus menimbulkan pertanyaan bagaimana ia boleh dipasarkan secara bebas di sana.

Tinjauan mendapati pelbagai jenama minyak tempatan serta minyak masak paket seberat satu kilogram (kg) dijual secara terbuka di sekitar pasar Tak Bai pada kadar sekitar RM4 hingga RM5.50 sepaket.

HAMZAH merasmikan KOBERA Parlimen Kubang Kerian di SK Seberang Pasir Mas, Salor. – Foto Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Koperasi Bela Rakyat (KOBERA) Parlimen Kubang Kerian di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Pasir Mas, Salor di sini, Hamzah berkata, KPDNKK akan mewujudkan koperasi di setiap parlimen bagi membantu pengguna mendapatkan harga barangan yang berpatutan.

Katanya, menerusi inisiatif itu juga, sektor peruncitan dan pemborong dalam negara dapat dikembangkan.

“Setia koperasi yang ditubuhkan di setiap parlimen akan diberi geran RM300,000 sebagai modal pusingan.

“Inisiatif ini dijangka memberi impak yang besar dalam sektor peruncitan dan pemborongan selain dapat memberi harga yang berpatutan kepada pengguna pada masa akan datang,” katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Razali Othman, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abd Ghani.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp