Categories : Hiburan

 

NIZAM Laksamana. – Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama tidak muncul dengan single baharu, kumpulan rock era 90-an, Laksamana akan menghadiahkan buah tangan terbaru buat peminat.

Menurut penyanyinya, Mohd Nizam Pechok, lagu terbabit diharap dapat mengubat kerinduan peminat yang setia menunggu karya terkini daripada mereka.

“Memang kami sudah mempunyai sebuah lagu untuk dirakamkan sebagai mengubat kerinduan peminat. Ketika ini, kami masih mencari masa yang sesuai untuk berbuat demikian. Sekarang bulan puasa dan masing-masing ada komitmen, jadi agak sukar untuk kami melakukannya.

“Muzik lagu terbabit sebenarnya sudah siap disusun dan kini tinggal untuk dirakam saja. Harapnya, ia akan menamatkan penantian peminat yang sering tertanya-tanya mengenai single baharu daripada Laksamana,” kata Nizam yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Royale Chulan di ibu kota.

Pada era kegemilangan mereka sekitar awal 1990-an, kumpulan yang pernah muncul dengan dua album ini meledak dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta dan Curang.

Dalam perkembangan lain, Nizam juga rancak merancang perkembangan nyanyian solonya. Selepas kemunculan album mini berjudul Nafas yang memuatkan dua lagu, masing-masing Hanya Perasaan dan Sedar, Nizam memberitahu beliau akan merakamkan empat lagi lagu baharu tidak lama lagi.

“Album mini Nafas yang disiapkan Oktober tahun lalu berjaya dijual sebanyak 1,000 keping. Saya sendiri yang menjualnya, dengan harga sekeping RM10 seunit.

“Sekarang saya sedang memikirkan sama ada akan mencetaknya semula atau sebaliknya. Lagipun, saya ada single baharu yang hendak dirakam,” katanya.

Nizam juga tidak menafikan impak penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim kedua, sekitar 2015, cukup besar.

“Alhamdulillah, program itu membuka cabang rezeki lain kepada saya. Setiap bulan ada saja tawaran menjayakan persembahan diterima. Cuma bulan puasa ini saya hentikan seketika aktiviti nyanyian.

“Pada Ramadan, saya lebih cenderung menjayakan program kemasyarakatan, termasuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan golongan asnaf,” katanya yang belum terfikir untuk meletakkan titik noktah pada kerjaya nyanyiannya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp