Categories : Semasa

 

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membaca doa sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. – Foto ihsan Jabatan Penerangan Sarawak

DOHA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Qatar bermula hari ini hingga 7 Februari.

Lawatan ini adalah kali pertama beliau sejak memegang jawatan itu pada 2015.

Duta Besar Malaysia ke Qatar, Datuk Ahmad Jazri Mohd Johar, berkata lawatan ini adalah atas jemputan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Qatar, Sheikh Abdullah Nasser Khalifa Al Thani.

Katanya, lawatan ini menunjukkan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang menjalinkan hubungan diplomatik sejak tahun 1974.

“Hubungan antara Malaysia dan Qatar sangat erat yang bukan sahaja dari segi politik, malah dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, perbankan dan kewangan,” katanya dalam sidang media kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Jazri berkata, Timbalan Perdana Menteri dijangka tiba di Doha kira-kira jam 11.55 malam ini (jam 4.55 pagi esok waktu Malaysia).

Pada hari kedua, iaitu pada 5 Februari, katanya Ahmad Zahid akan melakukan kunjungan hormat terhadap Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Beliau berkata, Ahmad Zahid kemudian menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Perdana Menteri Qatar, diikuti majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Qatar.

Katanya, pada hari ketiga, Timbalan Perdana Menteri akan melawat beberapa projek infrastruktur yang dijalankan oleh syarikat Malaysia seperti Bandar Lusai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di sini.

“Pada hari yang sama, beliau akan bertemu Menteri Pengangkutan Qatar, Jassim Saif Ahmed Al Sulaiti, untuk membincangkan pelbagai aspek penyertaan syarikat Malaysia dalam projek pengangkutan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, Dr Ahmad Zahid akan pulang ke tanah air pada 7 Februari.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp