Categories : Jenayah

 

SHAH ALAM: Seorang lelaki cedera ditembak ketika cuba menyamun seorang individu bergelar Datuk Seri di sebuah bank di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 58 tahun dan pengawal peribadinya baru selesai mengeluarkan wang tunai kira-kira RM200,000 dari bank berkenaan.

Katanya, ketika mangsa dan pengawal peribadinya sedang berjalan meninggalkan bank itu, suspek bersama seorang lagi rakan yang menaiki motosikal datang dan cuba menyerang mangsa untuk merampas wang berkenaan.

“Kedua-dua suspek membawa parang dan kapak. Berikutan itu, pengawal peribadi mangsa melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai punggung seorang suspek. Seorang suspek lagi berjaya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Shafien berkata, suspek yang cedera kini dirawat di Hospital Shah Alam (HSA) manakala dua mangsa yang turut cedera ringan dibawa ke sebuah hospital di Klang.

Katanya, polis kini melancarkan gerakan memburu seorang lagi suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp