Categories : Semasa

 

PUTRAJAYA: Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) mengetahui kerugian dialami bank pusat itu dalam urus niaga mata wang asing di antara tahun 1991 dan 1994 berjumlah RM31.516 bilion.

Perunding Kewangan Kanan, Khaw Lay Kuan, memberitahu Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing BNM Sekitar 1990-an, ia adalah kerana semua kerugian dalam tempoh itu dilapor dan dipertanggungjawabkan sepenuhnya  dalam Laporan Tahunan.

Lay Kuan selaku saksi ke-10 Suruhanjaya Siasatan, berkata beliau mengetahui mengenai perkara itu berdasarkan kompilasi disediakannya bertajuk Accounting Treatment of Losses Arising From Active Reserve Management 1988-1994, bertarikh 18 April 2007. Ketika itu, saksi adalah Timbalan Pengarah Jabatan Kewangan bank berkenaan.

Beliau yang membacakan pernyataan saksi, berkata kompilasi itu yang disediakannya selepas mendapat arahan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bukan satu laporan audit, sebaliknya transaksi lalu yang berdasarkan dokumen dan rekod diperoleh daripada BNM.

Sementara itu, saksi turut ditanya oleh Suruhanjaya Siasatan mengenai pemulihan akaun BNM iaitu proses untuk mengukur tahap dan mengenal pasti kesan kewangan yang disebabkan oleh sebarang urus niaga dan kejadian yang berlaku.

Lay Kuan berkata, pemulihan akaun itu yang berbangkit daripada urus niaga mata wang asing dari tahun 1988 hingga 1994, bukan dibuat bertujuan menutup kerugian sebenar dialami bank pusat itu dari tahun 1991 sehingga tahun 1993.

“Berdasarkan kompilasi yang kami sediakan, dapatan berhubung kerugian urus niaga mata wang asing dari tempoh 1990 sehingga 1994 adalah konsisten dengan Penyata Kewangan Tahunan bank pusat itu.

“Pemulihan akaun itu juga dilakukan mengikut polisi akaun yang dibenarkan oleh Ahli Lembaga Pengarah. Ia adalah amalan perakaunan yang konsisten oleh BNM sejak tahun 1988,” katanya.

Lay Kuan berkata, kompilasi itu kemudian diserahkan kepada bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf, yang kemudian memberitahunya bahawa ia akan diserahkan kepada Zeti.

Selepas laporan itu diserahkan kepada Gabenor, saksi berkata beliau tidak menerima sebarang maklum balas.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp