Categories : Semasa

 

SEBUAH pesawat tempur SU-30 MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan latihan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA’17), pada 21-25 Mac ini. – Foto Danial Saad

LANGKAWI: Kemunculan pesawat Sukhoi Su-30MKM dengan aksi ‘kolokol’ mencuri tumpuan ramai terutama dengan deruman enjin pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu yang seakan-akan bergegar membelah awan.

Walaupun hanya beberapa minit, aksi solo pesawat itu khususnya ketika mempamerkan kolokol atau aksi kedudukan statik dalam keadaan menegak 75 darjah di udara, nyata mengagumkan orang ramai.

Tidak hairanlah pelancong serta penduduk tempatan sanggup berhimpun di beberapa lokasi sepanjang landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, walaupun dalam keadaan cuaca panas, semata-mata untuk melihat sendiri kehebatan kolokol yang dikategorikan antara aksi mengerikan.

Su-30MKM bukan lagi asing dalam senarai inventori pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) selepas kali pertama ia menyertai acara dwitahunan itu pada 2007.

LIMA 2017 kali ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan 550 syarikat pempamer daripada 38 negara, dengan sasaran 40,000 pengunjung.

Pastinya aksi aerobatik menjadi tumpuan utama terutama dengan penyertaan baharu pasukan Black Eagle dari Korea Selatan, Sarang dari India dan Russian Knights dari Russia.

Pengurus Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) Langkawi, Jefry Ramli, ketika dihubungi mengesahkan empat pesawat Su-30SM daripada Russian Knights tiba di LTAL kira-kira jam 3.30 petang tadi, sekali gus melengkapkan penyertaan empat pasukan aerobatik, termasuk Jupiter dari Indonesia.

Russian Knights akan tampil pertama kali bersama pesawat tempur pelbagai fungsi Su-30SM yang dihasilkan Irkut Corporation pada 2016, berbanding penggunaan Su-27 dan Su-27UB sejak ditubuhkan pada 1991.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp