Categories : Hiburan

 

LISA Surihani dan Yusry bersama dua cahaya mata mereka. – Foto ihsan Pretty Peektures

KUALA LUMPUR: Pelakon, Lisa Surihani, 31, mengakui aktiviti berpantang selepas melahirkan anak antara proses penjagaan diri yang menyeronokkan.

Lisa yang baru saja melahirkan anak kedua, Yusof Leonne, pada 23 April lalu, menyifatkan proses berpantang mampu mengembalikan tenaga, selain dapat menyihatkan semula dalaman tubuh badan.

“Jujurnya, saya suka berpantang dan tiada sebarang isu mengenai perkara itu. Saya anggap, ia seperti aktiviti penjagaan diri untuk kembali sihat dan bertenaga.

“Saya perlu mementingkan kesihatan diri agar dapat menjaga anak-anak saya dengan baik. Ibaratnya, ia seperti mengecas semula badan kita,” katanya kepada BH Online.

Yusry dan Lisa berkahwin pada 23 Februari 2012 di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya. Mereka dikurniakan anak sulung, Yahaira Leanne, pada 15 September 2015.

Sementara itu, ditanya mengenai pengalamannya menjaga anak kedua, kata Lisa, beliau kurang panik menguruskan Yusof. Pengalaman itu agak berbeza berbanding menjaga cahaya mata pertama, Yahaira, apabila setiap perkara dilalui adalah pengalaman baharu baginya.

Bagaimanapun, Lisa berkata, kehadiran Yusof sedikit sebanyak mempengaruhi emosi Yahaira, lebih-lebih lagi apabila melihat beliau sedang menyusukan anak lelakinya itu.

“Yahaira masih lagi dalam proses membiasakan diri dengan kehadiran Yusof. Dia kini nampaknya lebih manja dengan saya sejak adiknya dilahirkan.

“Pada mulanya, Yahaira nampak biasa saja, tetapi apabila melihat saya menyusukan Yusof, dia terkejut dan mula menangis.

“Terasa sayu pula hati melihat keadaan berkenaan. Apapun, sekarang ini masih terlalu awal untuk membuat rumusan, dan lima bulan lagi Yahaira akan menginjak ke usia dua tahun. Saya percaya, dia mampu menjadi kakak yang baik,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp