Categories : Hiburan

 

NABIL Ahmad (kiri) dan Neelofa (tengah) bersama Johan akan mengacarakan Anugerah Meletop ERA 2017 yang bakal berlangsung pada 23 April di Stadium Melawati, Shah Alam. -Foto Zunnur AL Shafiq

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa, tidak pernah menganggap kontroversi yang berlaku antara dirinya dan Fattah Amin sebelum ini sebagai penghalang untuk beliau terus bekerjasama dengan aktor itu.

Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa, 28, berkata sebagai bukti, mereka akan kembali digandingkan dalam sebuah telefilem berjudul Suri Hati Mr Pilot Raya yang bakal menjalani penggambaran bulan depan.

“Saya tidak rasa terganggu pun dengan apa yang berlaku sebelum ini. Malah, apabila ditawarkan untuk berlakon dalam telefilem ini, saya tak ambil masa lama untuk menerimanya.

“Bagaimanapun sebelum bersetuju, saya ada juga bertanyakan kepada pihak pengurusan Fattah, adakah dia bersetuju untuk berlakon bersama saya. Nampaknya, dia juga tiada masalah untuk berbuat begitu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Meletop Era 2017 (AME 17), di sini hari ini.

Sebelum ini, Fattah didakwa pernah mengeluarkan kenyataan enggan lagi digandingkan dengan bekas pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-29 itu.

Dalam perkembangan lain, Neelofa melakar sejarah tersendiri apabila mendominasi senarai Top 5 AME 2017 dengan lima pencalonan akhir daripada 17 kategori dipertandingkan.

Lima kategori itu ialah Hos Meletop, Fesyen Meletop, Bintang Online Meletop, Pelakon TV Meletop dan Program Meletop menerusi Taste Selebriti (Episod Neelofa).

Bertemakan Bergabung Lebih Meletop, AME 17 akan dipancarkan secara langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam, pada 23 April depan, jam 9 malam.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp