Categories : Sukan

 

Luqman Hakim Ramlan

KUALA LUMPUR: Atlet lompat jauh, Luqman Hakim Ramlan, melaungkan keyakinan menjadi penyumbang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini.

Katanya, gelaran juara penting buat dirinya, lebih-lebih lagi temasya dwitahunan itu akan diadakan di laman sendiri.

“Saya berazam menjadi antara penyumbang pingat emas buat Malaysia di Sukan SEA, namun Indonesia, Filipina dan Vietnam mampu menjadi pesaing terbesar.

“Ia adalah Sukan SEA pertama saya dan sudah tentu mahukan keputusan yang membanggakan semua pihak.

“Sasaran selepas ini ialah melakukan lompatan melebihi 7.70 meter (m) kerana saya yakin mampu menjadikannya kenyataan,” katanya yang kini berlatih di bawah jurulatih Russia, Victor Sotnikov.

Terdahulu, pada Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Perak, Luqman Hakim mengejutkan penonton apabila mencatat lompatan 7.62m untuk meraih pingat emas.

Lebih membanggakan, ia mengatasi jarak 7.52m dicipta Pham Van Lam (Vietnam) yang membolehkannya meraih pingat perak pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.

Ketika itu, emas menjadi milik Supanara Sukhasvasti dari Thailand yang melakukan lompatan sejauh 7.75m manakala gangsa milik Arriola Donovant Jr (Filipina), 7.51m.

Catatan di Tertutup Malaysia menyaksikan Luqman Hakim disenaraikan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ke dalam Program Kita Juara 2017.

Dia layak mendapat segala kemudahan dan insentif termasuk latihan ke luar negara, sebagaimana dimaklumkan Presidennya, Datuk Karim Ibrahim.

Rekod kebangsaan acara lompat jauh dipegang Josbert Tinus, 7.88m yang dilakukan di Bangkok, Thailand pada 5 Oktober 2007.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp