Categories : Semasa

 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kiri) bersama Muhammad Izz Hakimi Muhammad berkerusi roda akibat sakit celebral palsy pada majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat Bukit Nanas, Tepoh, Kuala Nerus. – Foto Rozainah Zakaria

KUALA NERUS: Kejayaan Malaysia membawa pulang sembilan rakyatnya yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara selepas kes pembunuhan Kim Jong-nam Februari lalu, adalah bukti negara dihormati dan disanjung tinggi oleh negara luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kejayaan Malaysia itu mendapat pujian Duta Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa yang menyifatkan ia rundingan yang luar biasa dan membuktikan Malaysia negara yang disenangi negara luar.

“Tengah hari tadi saya mengadakan jamuan makan tengah hari bersama Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito.

“Dalam perbualan pada jamuan itu, beliau (Duta Jepun) beritahu saya ada lebih 100 rakyat Jepun diculik oleh kerajaan Korea Utara sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an.

“Sehingga hari ini, mereka tidak tahu apa nasib rakyat mereka di sana dan sudah beratus rundingan diadakan tetapi tidak ada hasilnya.

“Beliau (duta jepun) kata, beliau tabik dengan Malaysia kerana kejayaan kita membawa pulang rakyat Malaysia dari Korea Utara ketika krisis berikutan pembunuhan Jong-nam, disanjung tinggi,” katanya ketika berucap majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh, di sini, petang ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubi Embong dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Selain itu Najib berkata, kejayaan Malaysia menarik pelaburan berjumlah RM30 bilion di Pengerang dan menambah kuota haji ketika kunjungan Raja Salman ke Malaysia baru-baru ini juga membuktikan Malaysia negara yang dihormati, disanjung tinggi dan disenangi malah berkemampuan mendapat sesuatu yang lebih berbanding negara lain.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp