Categories : Sukan

 

Pasukan Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada Ireland 3-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia Wanita 2017 di Stadium Hoki Tun Razak. – Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Impian skuad hoki wanita negara menamatkan kemarau kejuaraan di pentas antarabangsa musnah apabila tumbang 3-0 kepada Ireland pada perlawanan akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL2) di Stadium Tun Razak, sebentar tadi.

Malah kekalahan itu menyaksikan skuad Malaysia Tigress gagal membalas dendam atas kekalahan 2-1 kepada pasukan bimbingan Graham Shaw pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatihnya, Dhaarma Raj Abdullah, berkata beliau tetap gembira walaupun tewas pada aksi akhir itu berikutan sudah mencapai misi melayakkan diri ke pusingan Separuh Akhir WHL.

“Tiada apa yang merugikan kami kerana apa yang penting kami sudah melayakkan diri. Malah, saya sudah cukup gembira dengan kejayaan menewaskan Itali semalam,” katanya.

Meskipun dinafikan kemenangan, namun kejayaan muncul naib juara sudah memadai untuk memastikan Malaysia Tigress meraih satu daripada dua tiket automatik ke Separuh Akhir WHL yang ditawarkan oleh WHL2 Kuala Lumpur.

Pasukan Ireland muncul juara selepas menewaskan Malaysia 3-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia Wanita 2017 di Stadium Hoki Tun Razak. – Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Bagaimanapun, mereka kini perlu menunggu dua lagi baki WHL2 di Valencia dan Vancouver tamat sebelum mengetahui senarai akhir 20 pasukan yang akan mengibarkan cabaran pada Separuh Akhir WHL di Belgium atau Afrika Selatan.

Setakat ini hanya 14 negara sudah mengesahkan tempat ke Separuh Akhir WHL diketuai 11 pasukan ranking tertinggi dunia – Belanda, England, Argentina, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Jerman, China, Korea Selatan, Jepun dan Sepanyol.

Belgium pula mendapat tempat automatik ekoran status tuan rumahnya, diikuti Ireland dan Malaysia (WHL2 Kuala Lumpur) selebihnya daripada WHL2 Vancouver dan Valencia.

Bagaimanapun, peluang pasukan ranking ke-21 dunia itu untuk mara menerusi ‘pintu’ Separuh Akhir WHL tampak cerah dengan mereka hanya perlu sekurang-kurangnya meraih tempat kelapan daripada 10 pasukan sekiranya berkira-kira mahu ke London.

Pada aksi terbabit, faktor gagal menyerap tekanan beraksi di depan kira-kira 5,000 penyokong menyaksikan skuad Malaysia Tigress tergesa-gesa dalam melancarkan serangan sehingga kerap melakukan kesilapan mudah.

Ia terbukti apabila Ireland hanya memerlukan selama 10 minit untuk terus mendahului 2-0 menerusi jaringan padang Anna O’Flanagan dan Kathryn Mullan.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Dhaarma kembali mengatur permainan dan cuba menggunakan kepantasan Wan Norfaiezah Saiuti bagi mendapat dua pukulan sudut penalti pada suku kedua, namun gagal dimanfaatkan Nur Amarina Ruhani yang juga kapten pasukan kebangsaan.

Wilson Zoe memastikan peluang Malaysia untuk bangkit tertutup apabila mudah menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk gol ketiga Ireland pada minit ke-35.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan

Perlawanan Akhir

Ireland…3 Malaysia…0

Tempat 3/4

Itali…3 Wales…1

Klasifikasi 5/6

Thailand…0 Singapura…0 (Thailand menang 3-1 menerusi penalti)

Klasifikasi 7/8

Kazakhstan…3 Hong Kong…2

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp