Categories : Sukan

 

– Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Skuad petanque negara mencipta sejarah apabila meraih pingat gangsa dalam acara beregu campuran di Kejohanan Petanque Dunia 2017 yang berlangsung di Ghent, Belgium, semalam.

Pingat itu diraih gandingan Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz sekali pun mereka tewas 0-13 kepada pasangan Tunisia Khaled Lakhal dan Nadia Ben Abdessalem pada perlawanan separuh akhir.

Kejayaan meraih gangsa adalah yang pertama buat Malaysia pada kejohanan peringkat dunia.

Syed Akmal, 20, berkata persiapan rapi di samping keadaan gelanggang bertaraf dunia menjadi antara penyumbang kepada kejayaannya dan Nur Thahira Tasnim.

“Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua pihak yang banyak menyokong saya,” kata Syed Akmal ketika dihubungi hari ini.

“Kejayaan saya hari ini dapat dilakar kerana saya yakin sudah buat persiapan yang sangat rapi untuk kejohanan kali ini di samping mutu padang memberi sedikit sebanyak keyakinan kepada saya untuk bermain dengan baik.”

Ditanya mengenai persiapan menjelang Sukan SEA ke-29, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata pencapaian pingat gangsa di Kejohanan Dunia dapat menjadi pendorong untuk beliau mencipta lebih kejayaan pada penampilan kali ketiga dalam temasya dwitahunan itu.

“Kejayaan kali ini sedikit sebanyak boleh menjadi tekanan kepada negara-negara lain kerana Malaysia kini sudah ada pemain bertaraf dunia. Ini juga beri kelebihan kepada atlet petanque negara menjelang aksi di Sukan SEA Kuala Lumpur nanti,” kata pemenang pingat perak acara Triples di Singapura dua tahun lalu.

Terdahulu, Syed Akmal dan Nur Thahirah bermula dengan langkah kanan apabila meraih kejayaan 13-8 ke atas gandingan Switzerland, Philippe Basting dan Sylviane Metairon, sebelum menewaskan pasangan Perancis, Philippe Suchaud dan Angelique Colombet 13-0 di peringkat suku akhir.

Dalam acara doubles lelaki pula, Syed Akmal yang bergandingan dengan Saiful Bahri Musmin menepati sasaran mara ke suku akhir selepas melakar kemenangan ke atas pasangan Mauritius, Louis Stephano Sylvio dan Salim Raza Bhaye Sookharyy 13-11 sebelum terkandas di suku akhir di tangan Thailand, Thanakorn Sangkaew dan Sarawut Sriboonpeng 4-13.

Sementara itu, ketua jurulatih petanque negara, Zani Lisa Mohamed berkata kejayaan meraih pingat gangsa dan layak ke suku akhir adalah satu kejayaan buat dan membuktikan atlet negara mampu bersaing dengan kuasa besar seperti Perancis, Thailand, Belgium, Tunisia dan Madagascar yang dilabel gergasi dalam acara itu.

“Saya dapat lihat para pemain berada dalam prestasi yang meningkat dari semasa ke semasa. Pada awalnya kita sekadar menetapkan sasaran untuk atlet sekurang-kurangnya layak ke suku akhir pada kejohanan dunia kali ini.

“Kemenangan pingat gangsa oleh pemain beregu campuran dan menepati sasaran ke ke suku akhir untuk beregu lelaki memberi petanda yang baik untuk skuad negara menjelang Sukan SEA nanti sekaligus menepati sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara iaitu pencapaian lebih baik dari di Singapura,” katanya.

Skuad petanque negara dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur esok. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp