Categories : Jenayah

 

JOHOR BAHRU: Seorang daripada remaja berbasikal yang maut dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam dekat sini awal pagi tadi pernah menyatakan hasrat pada ibunya untuk menjadi mekanik basikal.

Ibu mangsa, Alimah Samion, 60, berkata anaknya Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, minat membaiki basikal sejak kecil dan pernah menyatakan hasratnya untuk meneruskan minatnya itu seterusnya menjadi pakar dalam membaiki basikal.

“Sejak umur lapan tahun, dia minat membaiki basikal. Pernah dia cakap dengan mak cik, tapi mak cik cakap (ketika itu secara berseloroh) nanti mana ada banyak basikal lagi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian jenazah anak tunggalnya itu di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini petang tadi.

Menurut Alimah, dua hari sebelum kejadian, mangsa ada meminta izin daripadanya untuk membantu rakannya memindahkan barang di sebuah flat berhampiran tetapi dia tidak mengizinkan.

Katanya, dia menyedari anaknya tiada di rumah ketika bangun untuk mengejutkan mangsa menunaikan sembahyang subuh pagi tadi.

“Bila mak cik dengar berita kemalangan membabitkan remaja berbasikal, hati mak cik terdetik. Jadi abang mak cik pergi ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bersama jiran manakala mak cik pergi ke flat rakan anak yang dikatakan mahu pindah itu,” katanya.

Alimah berkata, dia akhirnya mendapat tahu anaknya meninggal dunia kira-kira 9 pagi tadi daripada abangnya, Kamisan Samion, yang membuat pengecaman mayat anaknya di rumah mayat HSA.

Anak tunggal Alimah itu baru sahaja menyambut hari lahir pada 8 Februari lalu dan sepatutnya pulang ke asrama di sebuah sekolah menengah agama swasta di Pasir Gudang hari ini.

Sementara itu, seorang daripada saksi yang menyertai kumpulan berbasikal awal pagi itu, Muhammad Aiman Suhaimi kesal terhadap kejadian yang berlaku dan tidak mahu berbasikal lagi selepas ini.

Remaja berusia 17 tahun itu menyifatkan kejadian berlaku terlalu pantas dan dia nyaris menjadi mangsa.

“Ada kereta datang dari belakang, saya rasa tidak sedap hati, makin lama macam makin laju, saya pun panggil kawan saya (Muhammad Firdauz Danish M Azahar) untuk ke tepi, tiba-tiba kereta sebat (rempuh) semua orang.

“Dalam sekelip mata, dua orang kawan saya (seorang daripadanya Muhammad Firdauz) berada di bawah kereta,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Muhammad Firdauz, di tanah perkuburan yang sama, petang tadi.

Menurutnya, ketika kejadian kesemua mereka dalam perjalanan ke Dataran Bandar Raya.

Ketika pengebumian, dia yang berkawan baik dengan Muhammad Firdauz sejak tingkatan satu itu dilihat menangis teresak-esak dan beberapa kali menundukkan mukanya seolah-olah teringat kembali kejadian ngeri itu.

Jenazah Muhammad Firdauz selamat dikebumikan pada 4.37 petang manakala jenazah Muhammad Harith Iskandar pula disemadikan pada 5.30 petang di tanah perkuburan yang sama.

Pada kejadian 3 pagi itu, lapan remaja maut manakala dua masih kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi HSA sementara enam lagi cedera dan masih dirawat di Wad Barat 2, HSA. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp