Categories : Sukan

 

KHAIRY Jamaluddin ketika ditemuramah wartawan selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain badminton negara yang akan ke Piala Sudirman di Gold Coast, Australia pada majlis yang diadakan di Akademi Badminton Negara di Bukit Kiara. – Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merasakan sudah tiba masanya untuk Malaysia muncul juara dalam kejohanan berpasukan badminton.

Beliau berkata, peluang itu mungkin hadir apabila skuad negara beraksi pada kempen Piala Sudirman di Gold Coast, Australia yang akan membuka tirai saingannya Ahad ini, biarpun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekadar meletakkan sasaran separuh akhir.

“Kalau kita tengok dalam saingan Piala Thomas, kita muncul naib juara (2014) dan semifinalis (2016), ini adalah pencapaian berturut-turut yang paling cemerlang. Kita sebenarnya sudah menghampiri bagi meraih gelaran juara dalam acara berpasukan.

“Jika tidak pada Piala Sudirman tahun ini, mungkin pada Piala Thomas akan datang (2018). Namun, saya fikir ini adalah masa yang terbaik untuk kita menjadi juara kejohanan berpasukan dan ia mungkin hadir di Gold Coast biarpun sasaran adalah separuh akhir,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan skuad badminton negara dan menyerahkan jalur gemilang sebagai simbolik bermulanya perjuangan Malaysia pada kempen Piala Sudirman di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai, Bendahari BAM, Senator Datuk V Subramaniam dan Ahli Majlis BAM.

Mengulas lanjut, Khairy berkata Malaysia kali ini mempunyai pasukan paling seimbang biarpun prestasi tidak menentu masih lagi menjadi musuh utama beberapa pemain.

“Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) mereka tahu musuh utama mereka adalah konsistensi, mereka boleh jadi nombor satu dan boleh kalah di pusingan pertama.

“Banyak yang sudah kita lakukan bagi mengatasi masalah ini dan saya percaya mereka akan bangkit kerana mereka sudah buktikan sebelum ini.

“Ini juga adalah peluang buat Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk membuktikan Malaysia turut mempunyai beregu campuran kedua yang berkualiti dengan ketiadaan Goh Liu Ying (cedera).

“Pemain perseorangan wanita kita, Goh Jin Wei juga sudah tiba masanya untuk dia menyinar,” katanya.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan C akan membuka tirai saingan menentang Jerman pada 23 Mei, sebelum bertemu Jepun sehari kemudian.

Carian Tronexus.rocks:

  • gambar bangkit dalam sukan

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp