Categories : Sukan

 

TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki (kiri) menerima dokumen daripada Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Low Beng Choo (kanan) pada Program ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah Sukan’ bersama Pemimpin Badan Sukan Kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. – Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Jadual acara Sukan SEA Kuala Lumpur (KL 2017) dijangka diumum pada masa terdekat selepas dimuktamadkan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC).

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, berkata jadual baharu membabitkan MASOC, persatuan sukan dan stesen penyiar rasmi pun memasuki fasa akhir dan dijadual selesai minggu ini.

“Dalam mesyuarat di MASOC pagi tadi, kami memuktamadkan jadual pertandingan yang ditukar kerana ia membabitkan beberapa sukan dan acara.

“Kita akan kemukakan jadual baharu bersama Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong.

“Persatuan sukan faham yang apabila bertukar satu hari, ia akan membabitkan jadual secara keseluruhan. Jadi bukan satu acara atau satu hari saja.

“Contohnya, kalau bertukar hari, dua sukan akan bertindih. Kalau kedua-duanya ingin membuat siaran dan pasukan penyiar hanya satu, kita perlu mencari penyelesaiannya.

“Perbincangan tadi membabitkan sama ada ia awal ataupun dikemudiankan. Acara mana yang boleh dipindah ataupun sebaliknya,” katanya kepada media selepas menghadiri Program ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah Sukan’ bersama Pemimpin Badan Sukan Kebangsaan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan penutup KL 2017 yang sepatutnya pada 31 Ogos diawalkan sehari bagi menghormati sambutan Aidiladha.

Susulan itu, jadual penuh KL 2017 yang sepatutnya 13 hari dipendekkan kepada 12 hari dan secara tidak langsung memerlukan pertukaran jadual acara terutama hari terakhir temasya.

Antara sukan yang terbabit dengan perubahan jadual ini ialah bola sepak dan sukan akuatik iaitu terjun dan renang.

“Bola sepak satu hari lebih awal, sebelum ini 15 Ogos diawalkan kepada 14 Ogos selain terjun dan renang.

“Kita perlu awalkan sehari dan perlu melakukan penilaian untuk tidak mengadakan pada hari yang sama.

“Kebiasaannya renang dan terjun berlangsung pada hari sama, di Malaysia kita nak terjun diadakan pada hari berasingan dengan renang supaya ia boleh disaksikan semua rakyat Malaysia.

“Terjun adalah sukan yang kita kuat dan renang juga sama, jadi kalau boleh kita nak adakan pada hari berlainan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp