Categories : Hiburan

 

Ahmad Razif (tengah) bertanyakan keadaan kesihatan Saleem yang dirawat di PPUKM di Cheras ketika melawat penyanyi itu, tengah hari tadi. – Foto Ihsan Keluarga Saleem

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, melawat penyanyi Saleem yang terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, tengah hari tadi.

Ahmad Razif yang tiba di hospital itu pada jam 12.45 tengah hari, meluangkan masa hampir dua jam bersama Saleem atau nama sebenarnya, AM Saleem Abdul Majeed, 55.

Turut berada di sisi penyanyi Suci Dalam Debu itu adalah isterinya, Julia Bachok.

Selain diberi penerangan mengenai kesihatan penyanyi itu, Ahmad Razif meminta isteri dan keluarga Saleem bersabar dengan dugaan dihadapi.

“Saleem adalah penyanyi idola ramai, kehebatannya banyak mengharumkan nama Terengganu hingga negara seberang.

“Saya mendapat makluman doktor, Saleem banyak menunjukkan perubahan. Dalam masa terdekat, Saleem akan pulih cuma perlu menghabiskan rawatan.

“Kerajaan negeri akan melihat bantuan yang boleh disalurkan untuk meringankan beban dihadapi Saleem. Kami akan sentiasa mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak hospital,” katanya.

Razif akan berbincang dengan Persatuan Anak-Anak Terengganu dan karyawan untuk memberi bantuan sewajarnya kepada Saleem.

“Apa yang diharapkan, peminat dan masyarakat dapat mendoakan kesejahteraan dan Saleem segera sembuh,” katanya.

Sementara itu, Julia berkata, suaminya gembira dapat berjumpa dengan Menteri Besar negeri asalnya.

“Saya bersyukur Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Terengganu mahu membantu daripada segi perubatan dan masalah kami.

“Menteri Besar banyak memberi kata-kata semangat pada Saleem dan kami sekeluarga. Beliau juga sempat berbincang dengan doktor pakar untuk mengetahui rawatan terbaik untuknya,” katanya.

Julia berkata, dana amat diperlukan berikutan Saleem akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada bahagian testis yang kian membesar.

“Pembedahan dan rawatan susulan membabitkan kos antara RM50,000 hingga RM70,000 mengikut tahap kesihatan Saleem.

“Kos akan menjadi lebih tinggi jika Saleem dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Saya diberitahu ia mungkin mencecah RM70,000.

“Bagaimanapun, pembedahan tidak boleh dijalankan segera kerana suami masih dalam pemantauan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp