Categories : Semasa

 

Penerima bergambar dengan motosikal pada majlis Penyerahan Mobilepreneur peringkat Johor di Bandar Baru Uda Johor Bahru. – Oleh Zain Ahmed

Johor Bahru: Program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur) disambut baik oleh usahawan belia yang berharap ia akan terus diperbanyakkan bagi membantu usahawan baharu memperluaskan perniagaan mereka.

Program itu adalah inisiatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi membantu belia luar bandar yang mempunyai kemahiran tertentu menjalankan perniagaan berasaskan perkhidmatan dengan modal permulaan yang rendah tanpa perlu membuka atau menyewa premis perniagaan.

Program itu berasaskan konsep perkhidmatan bergerak, selari dengan usaha membantu belia yang mempunyai kemahiran dan kesungguhan yang tinggi untuk meningkatkan pendapatan serta taraf hidup melalui bidang keusahawanan.

Konsep itu juga bersesuaian dengan keperluan semasa masyarakat yang tidak perlu pergi ke kedai untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan diperlukan.

Mobilepreneur dilaksanakan menerusi pemberian pakej lengkap kepada peserta meliputi sebuah motosikal yang diubah suai reka bentuknya, peralatan kemahiran dengan peserta turut diberi kursus asas keusahawanan untuk memulakan perniagaan.

Kumpulan miskin tegar

Pemilihan Mobilepreneur difokuskan kepada ahli isi rumah daripada kumpulan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah, memiliki sijil kemahiran diiktiraf dengan keutamaan kepada mereka yang mempunyai pengalaman atau latihan serta belia yang tidak pernah menerima sebarang bantuan atau program lain.

Bagi Norhasyimah Mat Lazim, 27, beliau yakin motosikal yang diubah suai dengan dilengkapi ruang penyimpan dapat meningkatkan lagi perniagaan menjahit baju yang diusahakannya sejak lebih setahun lalu.

Norhasyimah menjadi penerima wanita tunggal daripada 17 penerima Mobilepreneur di Johor untuk tahun lalu pada majlis yang disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Menerusi kemudahan ini, saya yakin dapat meningkatkan lagi pelanggan dan bersaing apabila mampu menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah, selain penghantaran pakaian pelanggan.

Ismail Sabri beramah mesra dengan penerima motosikal selepas merasmikan Majlis Penyerahan Mobilepreneur Peringkat Johor. – Foto Zain Ahmed

“Menerusi bantuan motosikal ini membolehkan saya pergi ke rumah pelanggan untuk membuat ukuran pakaian yang ditempah atau penghantaran pakaian siap, sekali gus mampu meningkatkan jumlah pelanggan serta pendapatan,” katanya.

Norhasyimah bertekad menggunakan bantuan itu dengan sebaiknya bagi menambah pelanggan dengan tidak hanya bergantung kepada pelanggan yang datang ke rumahnya di Taman Seri Mersing, di daerah Mersing.

Bagi mekanik, Rizal Aidil Jaafar, 39, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kementerian yang membuat pendekatan memperkenalkan Mobilepreneur kepada usahawan belia di negara ini.

“Langkah kerajaan memberi bantuan motosikal dengan dilengkapi pelbagai peralatan bersesuaian dengan bidang yang diceburi usahawan belia ini memberi peluang untuk kami meningkatkan pendapatan.

“Menerusi motosikal ini, memudahkan saya pergi ke lokasi bagi membaik pulih kereta pelanggan yang rosak, berbanding sebelum ini saya menghadapi masalah kenderaan selain berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas.

Beri perkhidmatan terbaik

“Penggunaan motosikal ini membolehkan saya memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, sekali gus dapat memberi keyakinan dan menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

Seorang lagi mekanik, Mohd Rizal Yahya, 38, berkata motosikal dan peralatan asas membaiki kenderaan yang diberikan itu membolehkannya menawarkan perkhidmatan tambahan kepada orang ramai.

“Sebelum ini saya berdepan masalah kerana terpaksa pergi ke lokasi menggunakan kereta yang menyebabkan terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Kini saya yakin dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cepat dan cekap,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp