Categories : Sukan

 

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. – Foto fail NSTP/Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan saingan di kedudukan ke-13 pada pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez, sebentar tadi.

Penunggang PETRONAS Raceline Malaysia itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-22, gagal memanfaatkan kelebihan ketika beberapa pelumba di depan berdepan kemalangan.

Hafizh ketinggalan 25.522 saat dalam saingan dimenangi Alex Marquez yang mencatat masa 43 minit 24.350s.

Pada awal perlumbaan, Hafizh dan seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi masing-masing berkedudukan ke-11 dan 12 namun gagal mengekalkan rentak dalam saingan sengit membabitkan beberapa kemalangan dalam kelompok depan.

Malang turut menimpa pelumba Khairul Idham yang mewakili IDEMITSU Honda Team Asia apabila terjatuh ketika perlumbaan masih berbaki 12 pusingan.

Berakhir pusingan keempat sebentar tadi, Hafizh kini berkedudukan ke-13 pungutan mata kejuaraan selepas mengumpul 14 mata.

Sebelum ini Hafizh berkedudukan ke-10 di Argentina dan ke-11 di Amerika Syarikat.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang beraksi dalam kelas Moto3, Adam Noroddin turut terbabit dalam kemalangan berbaki 11 pusingan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp