Categories : Sukan

 

PRESIDEN Melaka United (MU), Datuk Seri Idris Haron. – Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Melaka United (MU) berdepan risiko kehilangan presidennya, Datuk Seri Idris Haron andai pasukan itu terus gagal mempamerkan prestasi cemerlang pada Liga Super musim ini.

Idris yang melahirkan rasa kecewa di atas kegagalan pasukan itu dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini, mendakwa persembahan pasukan yang merudum kali ini disebabkan faktor pengurusan dalaman dan pemain.

“Tujuan kita (kerajaan negeri) ialah mahu jadikan pasukan MU kuat, kita semua mahu tengok pasukan (bola sepak) Melaka kuat, tetapi saya rasa sedih.

“Cakap saya macam tidak didengari, seolah-olah macam saya cakap benda main-main. Selagi tidak selesai masalah dalaman pengurusan dan pemain, selagi itulah kita (MU) tidak boleh jadi pasukan cemerlang,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, MU dibelasah 7-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin sehingga mencetuskan kebimbangan peminat berkaitan prestasi merudum skuad Hang Tuah itu.

Sebagai tindak balas, Pengurus MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dikatakan sudah memberi amaran keras kepada dua pemain import pasukan itu supaya meningkatkan prestasi mereka.

Idris yang juga Ketua Menteri sebelum ini tegas mengatakan pasukan MU tidak boleh menjadi pasukan belasahan, namun kini terpaksa menelan hakikat itu berikutan masalah dalaman yang belum diselesaikan sepenuhnya.

“Memang saya kata (MU) tidak boleh jadi pasukan ratahan, tapi hakikatnya ia berlaku.

“Jadi mungkin MU selepas ini berdepan risiko kehilangan presiden jika terus gagal menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya yang mendedahkan kerajaan negeri banyak membantu pasukan mendapatkan penaja bagi meneruskan kelangsungan MU.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp