Categories : Sukan

 

MELAKA: Pasukan Melaka United (MU) perlu memberi perhatian kepada ketangkasan penyerang import Kelantan, Muhammed Ghaddar pada pertemuan sulung kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super di Kota Bahru, malam ini.

Pemain kelahiran Lubnan ini kembali memperkuatkan The Red Warriors (TRW) musim ini, selepas pernah membantu mereka merangkul kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sepanjang beraksi pada 2012 dan 2014.

Pengurus MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi ketika mengingatkan skuad Kancil berkata pemain import berkenaan mampu membentuk gandingan bahaya bersama rakan import, Morgaro Gomis dari Senegal, selain Indra Putra Mahyudin.

“Semua pemain sudah diingatkan untuk mengekang pergerakan Ghaddar. Dia kita lihat mampu mengoyak benteng Melaka United andai terlepas dari kekangan,” katanya menjelang pertemuan penting itu.

Selain Kelantan-MU, perlawanan Liga Super malam ini juga membabitkan pertemuan FELDA United-PKNS, Selangor-Pulau Pinang, Perak-Pahang dan T-Team-Sarawak.

Mohd Yusof juga mengingatkan pemainnya supaya mengetepikan reputasi gah TRW, sebaliknya menumpukan kepada usaha untuk mempamerkan persembahan terbaik dan berkualiti sepanjang permainan.

“Walaupun skuad lawan memiliki barisan hebat, termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nor Hafiz Zamani Misbah, Badhri Radzi dan Norfarhan Mohamad, skuad Hang Tuah juga mampu bersaing.

“Kami juga memiliki ramai pemain terbaik seperti kapten skuad kebangsaan, Amri Yahyah, IIija Spasojevic dan Sergo Aguero yang bakal menyaingi mereka malam ini,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, tiada bezanya beraksi di gelanggang sendiri atau tempat lawan kerana apa yang lebih penting ialah pemain beraksi pada tahap terbaik.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp