Categories : Semasa

 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan tetamu berbuka puasa pada Majlis Iftar@KL di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. – Foto Aizudin Saan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyertai lebih 4,000 warga kota berbuka puasa di Dataran Merdeka, Jalan Raja pada majlis Program Iftar @ KL 2017 malam ini.

Perdana Menteri yang berbaju Melayu merah hati dan berkain pelikat tiba bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada jam 7 malam disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib dan isteri kemudian menyerahkan bubur lambuk kepada 40 penerima, melawat food truck dan khemah bubur lambuk serta bertadarus bersama 500 pelajar maahad tahfiz.

Selesai berbuka, Najib dan isteri menunaikan solat Maghrib berjemaah di Dataran Merdeka bersama umat Islam yang diimamkan Imam Makkah, Sheikh Mohd Idris Al-Masyrafi.

Iftar@KL adalah program tahunan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berlangsung setiap Sabtu dan Ahad, mulai 3 hingga 18 Jun ini berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Program sempena Ramadan itu mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Iftar@KL 2017 adalah wadah untuk menyemarakkan kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda di negara ini.

Ia adalah program yang selari dengan keperluan pelancongan menerusi acuan Islam dan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya di peringkat antarabangsa.

Selain itu, ia bertujuan untuk mengimarahkan Ramadan sebagai bulan ibadat dan menyemai keprihatinan sesama insan menerusi amalan kebajikan, malah mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum.

Sebanyak 16 komponen pengisian aktiviti disusun berbanding 14 pada tahun lalu yang akan dilaksanakan JKKN serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp