Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Veteran UMNO, Tan Sri Napsiah Omar, meninggal dunia jam 6.10 petang tadi di rumah anaknya di Ampang Jaya, Selangor, akibat barah hati.

Ahli keluarga arwah, Datuk Hamid Yahya dalam satu pesanan menerusi aplikasi Whatsapp berkata, jenazah akan dikebumikan di Kuala Pilah tengah hari esok.

“Assalamualaikum, dengan rasa sedih dimaklumkan bahawa Tan Sri Napsiah Omar kembali ke Rahmatullah sebentar tadi.

“Jenazah dibawa ke Surau Tunku Muhriz Kampung Jawa, Kuala Pilah, dijangka sampai tengah malam ini, akan disempurnakan dan dikebumikan di Kuala Pilah sebelum solat Zuhur, insya Allah. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT, insya-Allah,” katanya.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan.

Napsiah pernah menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1982, Menteri Perusahaan Awam (1987), Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial (1990) serta Anggota Majlis Eksekutif Negeri Sembilan (1995-1999).

Beliau menyertai UMNO cawangan Kuala Pilah pada 1972 sebelum menjadi Anggota Parlimen Kuala Pilah selama tiga penggal sejak 1982.

Beliau kemudian menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah selama penggal selepas menewaskan Ruslan Kassim daripada PKR dengan majoriti 2,818 undi pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp