Categories : Hiburan

 

NINA Nadira dan tunang.

KUALA LUMPUR: Bintang program realiti Akademi Fantasia (AF) 2014, Nina Nadira, dan tunang, Ahmad Farhan Rusman, memilih 29 Julai depan sebagai tarikh penyatuan mereka.

Pada keesokannya pula, pasangan berkenaan akan diraikan dalam majlis resepsi, dengan kedua-dua acara terbabit bakal diadakan di sebuah hotel terkemuka di Shah Alam.

Menurut Nina, kebetulan majlis akad nikah dan persandingan diadakan di hotel, justeru beliau dan keluarga tidak perlu terlalu risaukan soal persiapan hari bahagianya.

“Sehingga kini, persiapan yang dilakukan juga berjalan dengan baik. Untungnya, kami tidak perlu menguruskan segala-galanya kerana kebetulan majlis diadakan di hotel,” katanya kepada BH Online.

Kata gadis berusia 25 tahun ini, majlis bertandang pula akan diadakan di Alor Setar, Kedah, pada penghujung tahun ini.

Nina dan bakal suami, yang juga seorang arkitek, melangsungkan pertunangan pada 25 Mac lalu. Pasangan sebaya ini bertemu ketika masing-masing menuntut di Melbourne, Australia, tahun lalu.

“Alhamdulillah, semuanya bagai dipermudahkan. Kami pulang dari Melbourne sama-sama selepas tamat pengajian dan memutuskan untuk membawa hubungan ini ke tahap lebih serius,” katanya.

Mengenai tunangnya, Nina menyifatkan Farhan sebagai lelaki yang amat bertanggungjawab.

“Kami mempunyai tarikan yang bertentangan. Saya berjiwa seni dan dia pula lebih mementingkan pemikiran logik. Mungkin perkara itulah yang melengkapi diri kami,” katanya yang menuntut dalam bidang seni drama di Universiti Deakin, Melbourne.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp