Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz, 35, menganggap isu berpegangan tangan dengan Uqasha Senrose ketika menghadiri satu majlis hiburan, baru-baru ini, sebagai perkara remeh yang sengaja diperbesar-besarkan.

Shah juga menyifatkan, isu itu tidak membawa apa-apa manfaat sebaliknya mempertahankan tindakannya itu hanya untuk memastikan keselamatan Uqasha yang kebetulan mengenakan sepatu bertumit tinggi supaya selesa ketika acara berlangsung.

“Mereka yang hadir pada acara itu tahu apa yang berlaku. Sebagai gandingannya dalam drama Syurgaku Tak Sempurna, saya perlu memastikan Uqasha selesa dan tiada apa-apa yang buruk berlaku. Bukan hanya Uqasha, tetapi saya juga melakukan perkara yang sama terhadap pelakon wanita lain.

“Saya tidak berbuat apa-apa kesilapan, jadi ada baiknya perkara ini tidak diperbesarkan. Saya faham asam garam dunia hiburan apabila perkara kecil sengaja diperbesarkan untuk menarik perhatian ramai,” katanya.

Shah bersyukur, isu itu tidak memberi kesan kepada rumah tangganya meskipun isterinya, Siti Sarah Mohd Noor pernah bertanya mengenai perkara itu.

“Saya mengaku memimpin tangan Uqasha, tetapi saya tiada niat lain kecuali memastikan keselamatannya. Syukur kerana isteri memahami malah enggan memperbesarkan isu ini apabila ada pihak media menghubungi untuk mendapatkan komennya.

“Sebelum ini, saya pernah memimpin tangan pelakon wanita lain tetapi tidak pula diperbesarkan. Lagipun, ia tidak membabitkan perasaan jadi tidak perlu ia dijadikan isu,” katanya.

Shah yang pernah dua kali dijulang sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) berkata, hubungan isterinya dan Uqasha juga baik malah, mereka masih bertegur sapa sekiranya bertemu pada acara tertentu.

“Sejak memenangi anugerah, saya mengingatkan diri supaya tidak terjerat lagi dengan kontroversi. Sampai bila saya mahu popular dengan kontroversi? Bagi saya, kontroversi seperti ini tidak membantu kerana fokus saya ketika ini ialah kepada lakonan,” katanya.

Shah dan Uqasha bergandingan dalam drama 30 episod terbitan Darkwave Pictures, Syurgaku Tak Sempurna yang kini ditayangkan di Hypp TV.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp