Categories : Jenayah

 

ANGGOTA bomba mengusung mangsa yang cedera di kaki selepas tergelincir dari ketinggian 300 meter di Gunung Baling, Baling, hari ini. – Foto Safuri Kamarudin

BALING : Seorang pelajar lelaki dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang cedera di kaki selepas tergelincir dari ketinggian 300 meter di Gunung Baling di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 2.10 petang itu, mangsa, Khairul Azim Mohamad, 25, terpaksa diusung turun kerana tidak dapat berjalan selepas cedera akibat terhentak pada besi tangga pendakian.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Mohd Sufian Alias, berkata seramai 15 anggota tiba di lokasi tempat mangsa dan tiga rakannya berkumpul sementara menunggu bantuan, jam 2.20 petang.

“Operasi menyelamat mengambil masa sejam serta berjalan dengan baik meskipun hujan dan laluan untuk membawa mangsa turun ke kaki gunung licin.

“Mangsa yang sudah menerima rawatan awal di lokasi kejadian segera dihantar ke Hospital Baling dengan ambulans,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian di sini.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Ikram Abd Majid, 25, berkata kumpulan mereka seramai empat orang mendaki Gunung Baling sebelum subuh dan ketika dalam perjalanan untuk pulang, mangsa tergelincir dan cedera.

“Ini pertama kali kami mendaki gunung itu malah tidak mahir dengan laluannya,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp