Categories : Hiburan

 

ALLAHYARHAM S Rosley. – Foto ihsan Facebook Fido Ahdross Alqadry

SINGAPURA: Seniman filem Melayu era 1960-an, S Rosley, meninggal dunia di sini, awal pagi tadi, akibat serangan jantung.

Beliau yang berusia 74 tahun, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 1.40 pagi, lapor BERITA Mediacorp.

Memetik kenyataan anaknya, pelakon dan penyanyi Fido Ahdross, 34, Allahyarham dikatakan rebah di bawah kolong blok kediamannya sebelum meninggal dunia di Hospital Besar Changi akibat serangan jantung.

Beliau juga dilaporkan pernah menjalani pembedahan pintasan beberapa tahun lalu.

Selain itu, Allahyarham terpaksa menggunakan alat perentak jantung sekitar tiga bulan lalu disebabkan jantungnya yang lemah dan tidak berdegup secara konsisten.

S Rosley yang bersuara serak-serak basah pernah membintangi beberapa filem klasik, termasuk Anak Buluh Betung, Lampong Karam dan Darma Kesuma.

Seorang lagi anaknya, Shariffah Fathin Ahdross, berkata jenazah bapanya dikebumikan selepas solat Zuhur.

Dalam temuramah bersama sebuah akhbar Malaysia sekitar 2013, Allahyarham pernah meluahkan rasa hairan kerana amat dikenali selepas membintangi filem Anak Buloh Betong walaupun tidak memegang watak utama.

“Dalam semua filem yang saya lakonkan, watak yang diberikan ialah watak hero kecuali dalam filem Anak Buloh Betong.

“Cuma agak pelik sedikit kerana walaupun bukan melakonkan watak utama, filem itu yang paling diingati peminat saya,” katanya yang memegang watak jahat sebagai Tengku Rangkas dalam naskhah terbabit.

Bapa kepada empat anak ini juga pernah berlakon dalam sebuah filem moden berjudul Terlibat sekitar 1970-an. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp