Categories : Hiburan

 

BARISAN penyampai Hot FM dan Kool FM. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Hot FM tidak melihat pemilihan pelawak sebagai penyampai radio boleh menjejaskan reputasi sesebuah program dikendalikan mereka, malah golongan terbabit mempunyai tugas lebih besar di konti.

Ketua Program radio berkenaan, Ainul Farhana Razali, menjelaskan setiap pelawak yang dipilih mempunyai peranan masing-masing dan bukannya membuat lawak semata-mata.

“Contohnya, menerusi segmen Geng Hot Pagi yang menampilkan Shuk, Ajak dan Fizie, ada yang memainkan peranan sebagai ‘anchor’ dan juga ‘feeder’ supaya persembahan nampak seimbang dan program pula berjalan lancar.

“Bagaimanapun, sebagai pelawak, masing-masing sudah tentu perlu berjenaka juga kerana itulah kerjaya sebenar mereka. Faktor itu jugalah yang membolehkan pelawak terbabit dipilih menjadi penyampai,” kata Ainul Farhana ketika ditemui pada majlis Santai Lepak Hot FM dan Kool FM di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak kononnya program radio yang menampilkan golongan pelawak sebagai pengendalinya tidak mempunyai pengisian dan lebih mengutamakan jenaka kosong.

Mengenai kehadiran Shuk sebagai anggota baharu Hot FM, beliau berkata, pengalaman dimiliki pelawak itu antara faktor membolehkan beliau dipilih mengendalikan segmen pagi berkenaan.

“Pemilihan Shuk adalah tepat kerana saya lihat dirinya cukup selesa untuk bergandingan dengan Ajak dan Fizie. Sebelum ini pun dia pernah menjadi penyampai radio. Walaupun sekadar sampingan, Shuk sudah mempunyai asasnya dan dia juga mudah untuk diajar,” katanya yang turut melihat artis komedi terbabit mudah bekerjasama dengan sesiapa saja.

Pada majlis itu, selain Shuk, media turut diperkenalkan dengan barisan baharu penyampai kedua-dua stesen berkenaan, antaranya Zetty Nabila yang mewarnai segmen Muzik Hot, bermula jam 10 pagi hingga 4 petang, dan Muaz yang menyertai keluarga Kool FM.

Di radio yang baru saja menyambut ulang tahun pertama penubuhannya itu, 1 Mac lalu, bekas penyampai sebuah stesen milik kerajaan berkenaan mengendalikan segmen Petang Kool, bergandingan dengan Liza.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp