Categories : Sukan

 

Carlos Tevez

SHANGHAI: Bintang bola sepak yang menerima gaji paling lumayan, Carlos Tevez, dikecam penyokong kelab Shanghai Shenhua selepas dikesan mengunjungi Disneyland, hari yang sama dia terpaksa direhatkan daripada perlawanan penting kerana kecederaan.

Penyerang Argentina itu, yang dibayar 38 juta euro (RM177.4 juta) sejak menyertai kelab China itu awal tahun ini, dirakam kelibatnya di Disneyland Shanghai – ketika pasukannya menentang sebuah pasukan lain dalam liga perdana negara itu.

“Kami membayarnya berpuluh-puluh juta supaya dia boleh membuat lawatan di Shanghai,” rungut seorang pengguna internet dalam laman bola sepak Hupu.

“Saya tertanya-tanya adakah Shenhua membayar perbelanjaannya ketika melawat Disneyland,” tulis seorang peminat lain.

Bagaimanapun, Tevez yang dirawat kerana kecederaan otot sejak bulan lalu, tidak akan dikenakan hukuman kerana mengunjungi Disneyland atas kapasiti peribadi, kata jurucakap kelab Shanghai Shenhua, Ma Yue.

Ketiadaan bintang Amerika Selatan itu juga tidak menjejaskan Shanghai Shenhua yang menang 3-2 ke atas kelab Changchun Yatai.

Sejak ketibaannya bersama kelab China itu, Tevez hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan.

Pasukannya kini berada di tangga ke-11 dalam liga perdana China.

Kontroversi terhadap Tevez tercetus pada hari yang sama apabila seorang lagi bintang import dari Brazil, Paulinho, diberi amaran oleh pasukannya Guangzhou Evergrande, kerana mempromosi sebuah syarikat perjudian bersama-sama seorang bintang porno.

Perjudian dan kasino serta penjualan filem lucah diharamkan di tanah besar China. – AFP

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp