Categories : Semasa

 

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen diantara Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Berhad, Datuk Aziz Bakar (dua dari kanan) dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (dua dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Terengganu dan AirAsia Berhad di Wisma Darul Iman. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perhubungan Kerajaan, Zamani Bin Rafique (kiri) dan Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee (kanan). – Foto Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Berhad (AirAsia) menyediakan penerbangan terus Kuala Terengganu-Johor Bahru bermula 22 Jun ini.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Aziz Bakar, berkata perkhidmatan terbaru itu yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Terengganu menyediakan tiga kali penerbangan ke destinasi berkenaan setiap minggu.

Beliau berkata, ia selaras untuk meningkatkan kedatangan pelancongan ke negeri ini, sekali gus memantapkan sektor pelancongan dan perdagangan tempatan.

“Terengganu mencatat permintaan perjalanan tinggi sejak penerbangan itu bermula pada 2002 dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dengan kekerapan tujuh kali penerbangan seminggu dan kini operasinya membabitkan 28 penerbangan seminggu.

“Tahun lalu, AirAsia merekodkan lebih 420,000 penumpang yang terbang masuk dan keluar dari Terengganu dan tahun ini, kami menyasarkan peningkatan lebih 500,000 penumpang dengan laluan baharu Kuala Terengganu-Johor Bharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan Terengganu dan AirAsia di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

MoU itu antara lain bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam mempromosikan tarikan pelancongan di Terengganu.

Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, manakala Aziz mewakili AirAsia sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, penerbangan terus bagi laluan itu dilihat mampu membuka pelbagai peluang dan manfaat untuk semua pihak khususnya buat rakyat, terutama dalam meningkatkan ekonomi.

“Pemilihan Johor Bahru sebagai laluan terus baharu sangat tepat kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor turut mempunyai penerbangan terus ke Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Sibu, Miri, Jakarta dan Guangzhou.

“Ia sekali gus akan meningkatkan kemasukan pelancong luar ke negeri ini, selain menarik pelancong Singapura untuk datang ke negeri ini,” katanya.

AirAsia menawarkan penerbangan setiap Selasa, Khamis dan Sabtu dari Kuala Terengganu-Johor Bahru pada jam 3.15 petang dan Johor Bahru-Kuala Terengganu pada 1.45 tengah hari dan waktu penerbangan itu diselaraskan dengan operasi feri ke pulau di sekitar negeri ini.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp