Categories : Hiburan

 

PENERBIT Saphire Screen Sdn Bhd, Hasniza Nordin. – Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Penerbit Saphire Screen Sdn Bhd, Hasniza Nordin, kecewa dan terkilan dengan campur tangan pihak ketiga dalam isu tuntutan bayaran bekas pengurus produksi dramanya, Raja Mohamad Mohd Ismail.

Raja Mohamad, 44, yang kini terlantar sakit kanser kulit, menuntut bayaran akhirnya ketika menjadi pengurus produksi drama berjudul Biar Aku Jadi Penunggu berjumlah RM27,000.

Bagaimanapun, Hasniza, 42, berkata jumlah sebenar dapat dibayar oleh syarikatnya ialah RM9,680.94 ke atas tuntutan bil dan elaun sepanjang bekerja dalam drama yang menjalani penggambaran pada penghujung tahun lalu itu.

“Jumlah yang dituntut itu termasuk bayaran akhir sebagai pengurus produksi berjumlah RM12,300. Tetapi, disebabkan dia melanggar kontrak dan kontrak itu pula ditamatkan awal, maka bayaran berkenaan tidak dapat dijelaskan.

“Mengikut perjanjian, dia dibayar RM30,000 untuk drama terbabit dan 60 peratus daripada jumlah berkenaan sudah dilunaskan. Namun, disebabkan kontraknya ditamatkan awal kerana masalah yang ditimbulkan olehnya, baki bayaran berkenaan tidak dapat dijelaskan.

“Bagaimanapun, pihaknya (Raja Mohamad) tetap menuntut baki itu, termasuk beberapa tuntutan lain seperti bil perbelanjaan sepanjang terbabit dalam drama itu yang berjumlah RM27,431.81,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hasniza menjelaskan, syarikatnya melalui peguam yang dilantik, Mohd Faiz Iskandar Hamzah daripada Abu Talib Shahrom Peguambela dan Peguamcara, sudah menghantar surat berserta cek berjumlah RM9,680.94 kepada pihak berkenaan pada 11 Jun lalu, tetapi ditolak.

“Mereka tetap menuntut bayaran seperti diminta dan jika tiada pembayaran dibuat, mereka akan mengambil tindakan saman. Bayaran yang kita berikan itu adalah wajar mengikut bil dikemukakan.

“Malah, saya sendiri menambah RM4,000 lagi bagi meringankan bebannya memandangkan dia ada anak dan akan menyambut Syawal.

“Sebagai produser, saya kasihan dengan dirinya sebab dia tidak tahu apa yang berlaku. Dia banyak terbabit dengan drama terbitan syarikat saya sebelum ini, tetapi disebabkan adanya campur tangan pihak ketiga, isu ini jadi berlarutan.

“Saya tampil hari ini bagi memberikan penjelasan mengenai perkara sebenar kerana saya dihentam netizen di media sosial dan banyak pihak menyalahkan saya. Jika boleh, saya mahu isu ini diselesaikan secara baik, tetapi apabila diajak berjumpa untuk berbincang, pihak di sebelah sana cuba mengelak dengan memberikan pelbagai alasan,” katanya.

Hasniza berkata, Raja Mohamad turut terbabit dalam dua lagi dramanya, Mr Boss Miss Stalker dan Mukhlis 2, yang menjalani penggambaran sebelum drama Biar Aku Jadi Penunggu dijalankan.

“Bagi dua drama sebelum ini, kami tidak mempunyai sebarang masalah dan bayaran penuh sudah diselesaikan. Tetapi, untuk drama ketiga ini, dia sudah menunjukkan masalah, yang kita rasa melanggar kontrak dan perlu ditamatkan.

“Masalah dengan artis dan hilang di set penggambaran adalah antara sebab kontraknya ditamatkan, bukan kerana dia sakit.

“Dia jatuh sakit pada Februari lalu dan ketika itu dia tidak lagi bersama kami. Tetapi, apabila isu ini viral di media sosial, dengan gambarnya yang sedang sakit, netizen menghentam dan menyalahkan saya,” kata Hasniza yang berharap dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan segera, bersama Raja Mohamad sendiri.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp