Categories : Hiburan

 

Afad menunjukkan laporan polis yang dibuatnya Selasa lalu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi nasyid, Afad Raihan, membuat laporan polis terhadap penganjur, Kay Event Management & Services, Selasa lalu, yang didakwa gagal melunaskan baki bayaran Konsert Kejora Bersatu.

Katanya, sudah hampir empat bulan baki bayaran persembahan tertangguh sedangkan mengikut kontrak perjanjian, ia seharusnya diselesaikan sebelum konsert bermula.

Konsert terbabit berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), di sini pada 7 dan 8 Oktober tahun lalu.

Selain Afad selaku artis undangan, konsert itu menggabungkan kumpulan nasyid popular tanah air seperti Rabbani, Hijjaz dan Brothers. Turut diundang menjayakan persembahan ialah Nazrey Johani.

Afad berkata terpaksa berbuat demikian selepas penganjur gagal menepati kontrak perjanjian, malah mesej dan panggilannya tidak dijawab sejak pertengahan bulan lalu.

“Dulu, sebelum konsert bermula, pihak penganjur ada memberikan cek kepada saya. Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan menunaikannya terlebih dulu kerana mereka kata belum ada duit dalam akaun berkenaan.

“Selepas itu, saya ada berjumpa penganjur dua kali selepas konsert berakhir dan mereka berjanji akan melunaskan bayaran.

“Kali terakhir kami berjumpa ialah bulan lalu. Ketika itu mereka menyatakan masih tiada duit sebelum terus berdiam diri. Mesej dan panggilan telefon saya tidak dijawab hingga sekarang,” katanya kepada BH Online.

Kata Afad, selepas berbincang dengan Nazrey yang menerima nasib serupa, beliau membuat laporan berkenaan di Balai Polis Batu Arang, Gombak, Selangor.

“Saya berharap isu ini menjadi pengajaran buat mana-mana penganjur supaya perkara sama tidak berulang dan menjadikan anak seni sebagai mangsa,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp