Categories : Hiburan

 

Hakime Faizal Zaulkapli

KUALA LUMPUR: Penganjur Konsert 3 Kejora Bersatu memberi jaminan akan tetap menjelaskan bayaran tertunggak semua artis yang terbabit dalam persembahan yang berlangsung di Istana Budaya, Oktober tahun lalu.

Pengarah Urusan Kay Event Management and Services, Hakime Faizal Zaulkapli, berkata walaupun terpaksa menjual aset, beliau tetap akan berbuat demikian asalkan semua hutang dapat dijelaskan.

“Saya tidak pernah berniat untuk melarikan diri atau enggan membayar baki bayaran seperti yang dijanjikan. Walau apapun yang berlaku, saya tetap akan menjelaskan bayaran yang tertunggak kepada semua yang pihak berkenaan. Terus-terang, perkara ini membuatkan saya tertekan dan sangat malu.

“Buat masa ini, saya masih lagi berusaha untuk mencari dana, termasuk dalam proses mencari pembeli aset supaya masalah terbabit dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada BH Online.

Mengenai sikapnya yang mendiamkan diri dan enggan membalas panggilan serta mesej yang dihantar kepadanya, seperti didakwa artis yang terbabit, Hakime berkata, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak tahu apa lagi yang harus dijelaskan kepada mereka.

“Sebelum ini saya berjanji untuk menjelaskan bayaran mereka pada tarikh tertentu. Bagaimanapun, saya gagal berbuat demikian dan mereka terus bertanyakan hal itu dalam kumpulan aplikasi WhastApp.

“Berikutan tidak mahu memberikan harapan palsu, saya hanya berdiam diri,” jelas beliau.

Kontroversi timbul apabila beberapa artis nasyid yang terbabit dalam Konsert 3 Kejora Bersatu melahirkan perasaan tidak puas hati mereka kerana penganjur didakwa gagal melunaskan baki bayaran 75 peratus seperti dijanjikan.

Konsert terbabit membabitkan kumpulan nasyid Hijjaz, Brothers dan Rabbani, manakala Afad Raihan serta Nazrey Johany pula sebagai artis undangan.

Ekoran kejadian itu, seorang daripada anggota Brothers, Yasin Sulaiman, bercadang untuk membawa perkara itu ke muka pengadilan.

Semalam, BH Online melaporkan kumpulan Hijjaz kecewa apabila mereka masih tidak menerima bayaran yang dijanjikan oleh penganjur konsert terbabit. Pada Februari lalu pula, Afad membuat laporan polis berhubung perkara sama.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp