Categories : Semasa

 

SERDANG: Seorang penjual sari atas talian ditembak mati dua lelaki bertopeng di kawasan tempat letak kereta kediamannya di pangsapuri Suria, Taman Kinrara, Serdang di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun yang dikehendaki polis berhubung kejadian samun berkumpulan, ditembak suspek yang sedang menunggunya di kawasan tempat letak kereta pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner, Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata mangsa ditembak ketika berjalan menuju ke kediamannya di blok D, selepas meletak kereta di tempat letak kereta blok E.

“Dia ditemui mati terbaring di kawasan parkir berkenaan.

“Setakat ini kita tidak menolak kemungkinan suspek terbabit bersiap-sedia menunggu mangsa pulang ke rumahnya pada waktu berkenaan sebelum menembak mangsa, ” katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan di tempat kejadian, polis menemui lima kelongsong peluru dan suspek dipercayai menggunakan pistol jenis semi auto.

“Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif sebenar selain mengesan suspek terbabit yang boleh berada dalam kawasan kediaman yang dilengkapi kawalan keselamatan 24 jam,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp