Categories : Semasa

 

PUTRAJAYA: Penstrukturan semula Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) selaras dengan aspirasi kerajaan yang menjunjung tinggi amalan urus tadbir baik dan budaya kerja berintegriti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata pembentukan barisan kepemimpinan FIC adalah elemen kritikal untuk dilaksanakan serta diselaraskan bersesuaian dengan penyusunan semula badan pelaburan itu.

Justeru, katanya, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad perlu diberi kebebasan membentuk pasukan baharu sekali gus mendapat sokongan semua pihak.

Katanya, peletakan jawatan dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah FIC seperti diminta oleh Pengerusi FELDA itu, akan memastikan ketelusan dalam proses itu selain melancarkan penstrukturan semula FIC.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Pengerusi FELDA yang memberi penekanan kepada penstrukturan semula FIC dalam usaha membawa FELDA untuk terus berkembang maju.

“Saya percaya penstrukturan ini adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan aspirasi kerajaan untuk menjadikan agensi kerajaan dan Badan Berkanun sentiasa menjunjung tinggi terhadap urus tadbir yang baik dan budaya kerja berintegriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, FIC adalah badan yang bertanggungjawab mengendalikan pelbagai perusahaan pelaburan Kumpulan FELDA dan sudah tentu perlu diberi penambahbaikan dan dimantapkan bagi memastikan segala pelaburannya dapat membawa keuntungan kepada FELDA.

“Besar harapan saya agar penstrukturan semula yang dirancang ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya dan sekali gus dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada warga peneroka iaitu pihak berkepentingan terpenting FELDA dan mengembalikan semula FELDA ke zaman kegemilangannya seperti suatu masa dulu,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp