Categories : Hiburan

 

LOS ANGELES: Firma perakaunan PricewaterhouseCoopers, yang bertanggungjawab dalam proses pengauditan Oscar memohon maaf atas ‘kesilapan’ pengumuman pemenang kategori Filem Terbaik Anugerah Academy ke-89.

Pihak firma terbabit mengakui penyampai, yang juga bintang filem veteran, Warren Beatty dan Faye Dunaway, diberikan sampul surat salah ketika mengumumkan pemenang kategori berkenaan.

Insiden memalukan itu berpunca apabila Faye Dunaway mengumumkan La La Land sebagai pemenang, sedangkan kategori itu milik filem Moonlight.

“Kami ingin memohon maaf kepada pihak Moonlight, La La land, Warren Beatty, Faye Dunaway dan penonton Oscar atas kesilapan yang berlaku ketika pengumuman anugerah Filem Terbaik.

“Kedua-dua penyampainya diberi sampul surat kategori yang salah dan apabila menyedari perkara itu, ia segera diperbetulkan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan terbabit lagi, mereka akan membuat siasatan bagaimana perkara itu boleh berlaku dan amat kesal dengan insiden yang dianggap memalukan itu.

Suasana menjadi kekok apabila keputusan sebenar diumumkan ketika barisan pelakon dan tenaga produksi filem La La Land sudah berada di atas pentas.

Menyedari berlaku kesilapan, penerbit La La Land, Jordan Horowitz, bersuara dan menjelaskan kepada penonton, pemenang sebenar ialah Moonlight.

Horowitz juga menunjukkan kad keputusan yang tertera judul filem terbabit sebagai pemenang.

Pelakon dan tenaga produksi La La Land kemudian bertindak ‘sporting’ dengan menyerahkan trofi emas itu kepada pemenang sebenar, iaitu filem Moonlight arahan Barry Jenkins.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp