Categories : Teknologi Maklumat

 

LAMAN sesawang CGIAR di http://www.cgiar.org/

KUALA LUMPUR: Beberapa gergasi teknologi dunia berganding bahu membangunkan kepintaran digital yang dapat membantu petani kecil di negara miskin mendapatkan akses data hasil pertanian, cuaca dan kesuburan tanah.

Inisiatif sejajar lonjakan pengguna telefon pintar di kawasan luar bandar itu bakal membantu komuniti terbabit meningkatkan pengeluaran menghadapi krisis perubahan cuaca di seluruh dunia.

Organisasi Penyelidikan Pertanian Global CGIAR berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan gergasi teknologi seperti IBM dan Amazon dalam menganalisis sejumlah besar data pertanian bagi menjana keputusan yang dapat mencadangkan taktik pertanian tepat untuk petani.

Pengarah Penyelidikan International Center for Tropical Agriculture (CIAT), Andy Jarvis, berkata masanya sudah tiba bagi petani melihat awan di langit dan mengharapkan hujan.

“Dengan data mencukupi untuk dianalisis, kami mampu meramalkan hujan dengan lebih tepat sama ada pada masanya atau belum masanya lagi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Rome, Itali.

Petani kecil mengeluarkan sejumlah makanan untuk negara membangun yang dikesan amat terdedah kepada perubahan cuaca, berdasarkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Afrika dan Asia sebagai contoh, kini berdepan impak kenaikan suhu mendadak yang mencetuskan perubahan kepada corak hujan, kekerapan kejanggalan cuaca dan aras air laut yang semakin tinggi.

Jarvis berkata, CGIAR merancang membantu mereka mengeluarkan lebih banyak makanan menggunakan data analisis yang mencadangkan pertanian tepat dari segi teknik dan masa tanaman atau tuaian, selain kuantiti baja serta air yang diperlukan.

Katanya, inisiatif enam tahun itu akan memanfaatkan kelebihan mesej teks untuk penghantaran maklumat pada masa sebenar sejajar dengan kemampuan petani untuk memiliki telefon pintar ketika ini.

“Seperti teknologi data besar yang dibangunkan di Colombia pada 2013 berjaya membantu menjimatkan kos petani di daerah Cordoba sebanyak AS$3.6 juta setahun,” kata CIAT.

Perubahan cuaca yang mendadak akan terus menjejaskan pengeluaran hasil pertanian dan menjadikan harga makanan lebih tidak menentu sekali gus meningkatkan krisis kelaparan dalam kalangan keluarga petani miskin berdasarkan laporan FAO 2016. – Thomson Reuters Foundation

Info: Inisiatif CGIAR
Kumpulan Sasaran: Petani kecil seluruh dunia
Akses data: Hasil pertanian, cuaca dan kesuburan tanah.
Teknologi: Analisis Data Besar, satelit, ramalan cuaca.
Penyampaian: Telefon pintar, mesej teks.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp