Categories : Jenayah

 

SHAHAR Ibrahim (tiga dari kanan) menunjukkan barangan rampasan dalam 72 kes berasingan pada operasi tangkapan PATI dan barangan seludup selama tiga minggu bagi negeri Kedah dan Perlis berjumlah RM400,000 pada sidang media Pasukan Gerakkan Am (PGA) di Martak Bukit Kayu Hitam. – Foto Sharul Hafiz Zam

BUKIT KAYU HITAM: Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan rampasan 3,779 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM302,320 sepanjang tempoh tiga minggu penugasan Ops Wawasan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perlis.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahar Ibrahim, berkata rampasan ketum majoritinya di Padang Besar di Perlis itu adalah sebahagian daripada 72 kes yang direkodkan pihaknya melalui penugasan itu sejak 18 Jun lalu, dengan rampasan pelbagai barangan bernilai keseluruhan RM400,000.

“Penyeludupan ketum menunjukkan peningkatan terutama di Padang Besar di Perlis kerana kebanyakan daripada 36 laporan tangkapan yang dibuat pihak kami sebahagian besarnya adalah daripada kawasan itu.

“Ini termasuklah tangkapan dalam kereta di sebuah rumah di Perlis yang membabitkan rampasan 510kg ketum bernilai RM40,800 pada 2 Julai lalu.

“Selain itu, kita turut menahan empat lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang penyeludup ketum dari Perlis,” katanya ketika sidang media di Markas Taktikal (MARTAK) Bukit Kayu Hitam, di sini.

Mengenai modus operandi digunakan, Shahar berkata, penyeludup ketum akan mengumpul dan menyimpan stok dalam stor rumah kosong atau rumah tidak bernombor untuk mengaburi pihak berkuasa di sempadan, sebelum menyeludup bahan itu ke negara jiran melalui laluan pagar keselamatan yang dipotong.

Selain rampasan ketum, beliau berkata, pihaknya turut merekodkan empat kes rampasan minuman keras, rampasan kenderaan serta enam kes tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warga Myanmar dan Kemboja, serta tiga tekong rakyat tempatan sepanjang tempoh sama.

Berdasarkan rekod, katanya, 70 peratus kes penyeludupan dikesan berlaku di Padang Besar di Perlis, manakala baki 30 peratus lagi dikesan di Bukit Kayu Hitam.

“Sehingga kini kita kenal pasti sekurang-kurangnya 10 lokasi panas di sepanjang kawasan Ops Wawasan Kedah/Perlis yang menjadi tumpuan penyeludup dan tumpuan utama penugasana akan diberikan kepada semua lokasi terbabit.

“Selain itu, kita mempunyai 21 pos kawalan di sepanjang laluan keselamatan serta enam kubu untuk mengesan pergerakan mereka (penyeludup),” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp