Categories : Sukan

 

PENGENDALI Felda United, B Sathianathan bersama pemain, Zah Rahan pada sidang media di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, hari ini. – Foto BERNAMA

MARAN: Ketiadaan lima pemain utama termasuk ketua pasukan, Shukor Adan bukan alasan untuk FELDA United tidak meraih tiga mata apabila menentang Tampines Rovers di halaman sendiri dalam saingan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), esok.

Pengendali Felda United, B Sathianathan, berkata kemenangan yang diidamkan itu perlu dijelmakan bagi memastikan skuad The Fighters mampu mengorak langkah lebih jauh dalam kejohanan itu.

“Apa yang kita mahukan ialah mencatat kemenangan bagi mendapat tiga mata. Ini kerana kita sekarang berada di tangga kedua dan berpeluang memperbaiki kedudukan dan mara lebih jauh,” katanya pada sidang media di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka di sini, hari ini.

Beliau berkata, lima pemain utama yang cedera berkemungkinan tidak dapat diturunkan tetapi menjelaskan skuad itu mempunyai barisan simpanan yang berkualiti.

Selain Shukor, empat pemain lain adalah Syahid Zaidon, Mootaz Jounaidi, Stewart Wark dan Wan Amirul Afiq.

Pada masa sama, Sathianathan mengharapkan sokongan penyokong terutama warga FELDA kerana ia mampu meningkatkan moral dan semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang.

Sementara itu, pengendali Tampines Rovers, Jurgen Raab, berkata pasukannya tiada pilihan selain memastikan kemenangan kerana kekalahan kepada tuan rumah akan mengakibatkan mereka tersingkir daripada saingan Piala AFC musim ini.

“Kami hanya memiliki tiga mata dan menghuni tangga tercorot. Ini ialah aksi penentuan dan kami mahukan kemenangan.

“Kejayaan menewaskan FELDA United di tempat mereka pastinya memberi kelegaan kepada kami,” katanya.

FELDA United kini berada di tangga kedua dengan lima mata selepas mengharungi empat perlawanan manakala Tampines Rovers menghuni kedudukan tercorot dengan tiga mata.

Perlawanan malam esok adalah kali pertama dilangsungkan di STAR selepas rayuan FELDA United untuk beraksi di gelanggang sendiri diterima AFC. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp