Categories : Sukan

 

ADIB Zainudin (kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua FELCRA FC ketika menentang KDMM dalam saingan Piala FAM di Stadium Arena UM, malam tadi.

KUALA LUMPUR: FELCRA FC (FELCRA) meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Piala FAM apabila menundukkan Sabah KDMM FC (KDMM) 3-1 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Arena UM, malam tadi.

Skuad The Rival yang dibimbing Rosle Md Derus tidak menunggu lama untuk merobek gawang lawan apabila pemain pertahanan, Adib Zainudin bijak menyempurnakan peluang hasil sepakan percuma pada minit ke-18 untuk gol pertama FELCRA.

Tiga minit berselang, Adib Zainudin sekali lagi menjadi hero pasukan dengan meledak gol kedua FELCRA hasil bola muntah apabila percubaan Mohd Rahizi gagal ditangkap kemas penjaga gol KDMM.

Tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah, KDMM memperkemaskan gerakan dan berjaya merapatkan jurang melalui gol pertama pada minit ke- 28.

FELCRA yang menguasai perlawanan terus mencipta gerakan dan akhirnya gol ketiga berjaya diterjemahkan seminit sebelum tamat separuh masa pertama oleh Nashrul Shazrin yang mengucar-kacirkan pertahanan lawan di dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, skuad The Rival sedikit tempang apabila pertahanan, Muhamad Hafizi dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua pada minit ke-66.

Namun, KDMM gagal memanfaatkan kelebihan beraksi seorang pemain untuk membolosi gawang FELCRA yang dikawal Fakhrul Ikram dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat.

Melalui kemenangan itu, FELCRA FC berjaya mendaki ke tangga ketiga Kumpulan A dengan 17 mata.

Mengulas perlawanan malam tadi, Presiden FELCRA FC, Datuk Ismail Kassim berkata, kemenangan ini meningkatkan keyakinan pemainnya untuk terus berusaha mencapai sasaran beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

“Pemain saya beraksi dengan baik, namun sedikit tersentak apabila seorang pemain dibuang padang. Mereka masih mampu melakukan serangan balas walaupun beraksi 10 pemain,” katanya.

Rosle pula menyifatkan anak buahnya sebagai wira kerana tetap mempamerkan aksi cemerlang walaupun tanpa kehadiran dua tonggak utama – Thanabalan dan Shazuan Ashraf yang dilanda kecederaan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp