Categories : Sukan

 

PEMAIN beregu campuran, Goh Liu Ying. -Foto Ramdzan Masiam

SEPANG: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen mengakui peluang skuad negara tampak sukar menjelang saingan Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, bermula 21 hingga 28 Mei ini.

Legenda badminton Denmark itu berkata, situasi kini sudah berbeza buat Malaysia berbanding beberapa bulan lalu susulan kecederaan bahu kanan pemain beregu campuran, Goh Liu Ying yang kemungkinan besar tidak disenaraikan ke Gold Coast.

“Sudah pasti situasi berbeza jika dibandingkan beberapa bulan lalu kerana kecederaan dialami Liu Ying (menjejaskan kekuatan pasukan). Liu Ying masih belum berada pada tahap terbaik dan kami hanya akan putuskan sama ada dia boleh beraksi atau sebaliknya pada mesyuarat CTC (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan esok,” kata Frost.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media AirAsia X sebagai penaja penerbangan skuad kebangsaan ke Gold Coast untuk saingan Piala Sudirman di AirAsia RedQ di sini, hari ini.

Sebelum ini, Malaysia disifatkan mempunyai pasukan yang seimbang dan dilabel antara pencabar utama kejohanan kerana memiliki kekuatan dalam acara perseorangan lelaki menerusi Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Liu Ying.

Namun, jika Liu Ying yang mengalami kecederaan tangan kanan ketika Terbuka India, Mac lalu tidak disenaraikan, sandaran hampir pasti diletakkan kepada pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk menyumbang mata kepada skuad negara.

“Ia mungkin sukar buat Kian Meng-Pei Jing tetapi mereka beraksi baik dalam beberapa kejohanan sebelum ini, termasuk Terbuka Singapura yang menyaksikan mereka layak hingga ke separuh akhir.

“Apa pun saya tetap percaya Malaysia masih mampu menjadi pencabar utama kejohanan,” katanya.

Saingan di Gold Coast menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun dan Jerman.

Sementara itu, Liu Ying yang ditemui, berkata dia masih belum boleh menjalani latihan di gelanggang, sebaliknya fokus kepada proses pemulihan.

“Saya masih rasa sakit dan sebab itu sehingga hari ini belum kembali menjalani latihan di gelanggang. Saya sendiri tidak pasti boleh beraksi di Piala Sudirman atau tidak… saya perlu dapatkan laporan doktor dan berbincang dengan jurulatih.

“Saya sendiri tidak melakukan persiapan terbaik, jadi agak sukar untuk bermain pada Piala Sudirman,” kata Liu Ying yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama Peng Soon.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp