Categories : Sukan

 

KUALA LUMPUR: Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah bakal menjadi kejohanan pemanas badan buat skuad hoki kebangsaan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur yang bermula 19 hingga 31 Ogos ini.

Ketua Jurulatih, Stephen Van Huizen, berkata skuadnya akan menempuh jadual yang padat sebelum bermula Sukan SEA kerana selepas kejohanan itu berakhir pada bulan Mei, pusingan ketiga Liga Hoki Dunia di London pula menanti pada Jun.

“Ia adalah persaingan yang baik bagi mengekalkan rentak pemain sebelum bermulanya Sukan SEA nanti.

“Saya yakin dengan persiapan yang begitu rapi ini, kami mampu untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lalu,” katanya selepas lawatan ketua kontinjen negara di Sukan Sea 2017, Datuk Marina Chin ke venue latihan skuad hoki lelaki, hari ini.

Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung pada 27 April hingga 6 Mei bakal menjadi medan terbaik untuk skuad negara bagi memantapkan pasukan kerana beberapa nama besar turut menyertai antaranya Australia, New Zealand, England Jepun dan Korea.

Sementara itu, ketua pasukan, Sukri Mutalib mempunyai misi peribadi untuk membawa cabaran negara dalam Sukan SEA dan berharap mendapat kepercayaan jurulatih untuk misi itu.

“Jika saya diberi peluang, maka temasya kali ini akan menjadi penampilan pertama saya kerana hanya Sukan SEA yang masih belum berada dalam koleksi saya.

“Yang penting semua pemain perlu kekal fokus dan memberikan komitmen tinggi, cuma saya rasa sepatutnya skuad negara muncul juara kerana kita bermain di tempat sendiri dan kita juga tak boleh pandang rendah keupayaan lawan,” katanya. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp