Categories : Sukan

 

JURULATIH Pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Abu Bakar Fadzim (kanan) bersama ketua pasukan, Fadzli Zulkifli. – Foto Muhaizan Yahya.

IPOH: Dua pemain Bos Gaurus yang dipinjam, Ahmad Sukri Abdul Hamid dan Muhammad Fikri Sudin terpaksa melupakan hasrat membantu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC ketika menentang Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana di Stadium Perak, malam ini.

Ini berikutan Shukri sedang menerima rawatan kerana kecederaan manakala Fikri baru pulih dari kecederaan dan belum cergas sepenuhnya untuk menghadapi saingan malam ini.

Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata dua pemain dari skuad Liga Super Perak musim lalu itu dipinjamkan kepada PKNP bersama tiga bekas rakannya, Muhammad Syazwan Zaipol Bahari, Muhamad Akhir Bahari dan Azrul Nizam Muhammad.

Muhammad Syazwan, Muhamad Akhir dan Azrul Nizam kini menyertai skuad Piala Presiden Perak.

“Malangnya saya terpaksa ketepikan mereka untuk perlawanan malam ini,” kata Abu Bakar.

“Bagaimanapun, ketiadaan mereka tidak menjejas perancangan kerana PKNP mempunyai cukup pemain untuk menggalas tugas dan cabaran.

“Apa yang diharap, semua pemain mampu mempamer semangat juang dan kesungguhan tinggi seperti ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan pramusim tempoh hari,” katanya.

Abu Bakar berkata, pemain PKNP FC perlu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri itu untuk mengutip mata penuh dan menyuntik semangat mereka.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp