Categories : Jenayah

 

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah.

MELAKA: Selepas terlepas selama kira-kira 12 jam, banduan yang melarikan diri ketika menerima rawatan psikiatri di Hospital Melaka, di sini, diberkas semula, awal pagi tadi.

Suspek berusia 26 tahun dari Kompleks Penjara Sungai Udang itu berjaya diberkas polis yang melakukan kepungan di Kampung Bukit Palah, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata suspek ditemui pada jarak kira-kira enam kilometer dari Hospital Melaka dan tidak lagi berpakaian penjara ungu, sebaliknya pakaian yang diambil dari ampaian penduduk.

“Ketika tangkapan dibuat, polis sudah melakukan kepungan dan kawalan rapi di seluruh kawasan berhampiran hospital berkenaan sejurus menerima maklumat berhubung kejadian terbabit.

“Suspek ditemui bersembunyi dalam sebuah rumah tinggal dalam keadaan berpakaian lengkap. Bagaimanapun pakaian penjara yang dibuang ditemui semula,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Kempen Rumah Selamat Sampai Ke Destinasi sempena Tahun Baharu Cina di Hang Tuah Mall, di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semalam, banduan itu memberi alasan mahu ke tandas, sebelum bertindak melarikan diri melalui tingkap tandas.

Sementara itu, Shaikh Abdul Adzis, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah mengerahkan 400 anggota untuk menjalankan rondaan ke seluruh kawasan daerah ini bersempena sambutan Tahun Baru Cina bagi memastikan kawalan keselamatan penduduk.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp