Categories : Jenayah

 

SERDANG: Satu geng pecah kereta didalangi 12 warga Indonesia yang aktif melakukan jenayah itu di sekitar Lembah Klang, tumpas dalam dua serbuan berasingan di Puchong dan Kajang, bulan lalu.

Geng dikenali sebagai Geng Palembang itu dikesan mensasarkan kenderaan yang diletakkan jauh dari tempat awam serta terlindung daripada pandangan.

Geng terbabit dikesan bergerak dalam kumpulan kecil antara dua hingga tiga orang secara berasingan dan menggunakan pengangkutan awam untuk ke lokasi yang disasarkan.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, kejayaan polis menumpaskan geng itu bermula selepas tiga anggota geng berkenaan dicekup di tempat letak kereta Jalan Kenari 10, Puchong pada 22 Mac lalu.

“Sepasukan anggota polis yang menjalankan siasatan menerusi Ops Lejang Khas melakukan rondaan di kawasan itu sebelum terserempak tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di lokasi terbabit, kira-kira jam 7.30 malam.

“Pemeriksaan ke atas mereka menemui tiga ketul batu yang dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin kereta,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah teres di Jalan Sulaiman, Kajang pada kira-kira jam 11.25 malam dan menahan sembilan lagi ahli geng berkenaan.

“Dengan penahanan kesemua suspek, kita berjaya menyelesaikan sekurang-kurang 13 kes pecah kereta di Serdang dan sekitar Lembah Klang.

“Geng ini dikesan menjual barang berharga yang dilarikan daripada kereta yang dipecah masuk kepada rakan-rakan senegara, antaranya komputer riba dan komputer tablet,” kata Megat Mohamad Aminuddin lagi.

Usaha memburu saki baki anggota geng itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp