Categories : Jenayah

 

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dvd cetak rompak dan dvd lucah ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK). – Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang melumpuhkan sindiket menjual cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah apabila memberkas tiga lelaki dalam serbuan di bandar Mentakab, dekat Temerloh, semalam.

Ketua JSJK Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek berusia antara 16 hingga 27 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang di premis lot kedai tiga tingkat di bandar itu hasil risikan dan maklumat orang ramai.

“Kita percaya mereka ini adalah sebahagian daripada sindiket mengedarkan DVD cetak rompak di daerah ini dan daerah berdekatan.

“Ketika serbuan, suspek sedang memproses DVD cetak rompak termasuk DVD lucah untuk dipasarkan kepada orang ramai.

“Dalam serbuan itu, kita merampas peralatan mencetak DVD, pemain DVD, mesin pencetak, televisyen dan 133 kulit DVD pelbagai tajuk yang dianggarkan bernilai RM12,500,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, petang tadi.

Mohd Wazir berkata, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak tahun lalu turut mengubah suai premis terbabit dengan membina beberapa bahagian dinding bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, semua suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) dan 18(4)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp