Categories : Jenayah

 

ANTARA pendatang tanpa izin yang ditahan dalam serbuan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di rumah penginapan pekerja kilang di pekan Parit Buntar. – Foto Farah Suhaidah Othman

PARIT BUNTAR: Seramai 42 pendatang tanpa izin (PATI) termasuk lima remaja bawah umur yang dipercayai menjadi mangsa penindasan buruh paksa, diselamatkan dalam dua serbuan berasingan di pekan Parit Buntar di sini hari ini.

Serbuan dilakukan tujuh pegawai dan 20 anggota Unit Siasatan Jenayah Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Serbuan bermula jam 2.30 petang itu berjaya menyelamatkan 14 wanita dan 28 lelaki warga Myanmar berusia antara 16 hingga 35 tahun.

Semua mangsa dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan serta permit kerja sah dan menjadi mangsa buruk paksa di kilang membuat alat ganti kenderaan berikutan gaji diterima tidak setimpal dengan tempoh waktu bekerja.

Pegawai Turus D7 Perak, Deputi Superintendan V Annadurai, berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah kedai di pekan Parit Buntar dan menahan 11 warga asing sebelum serbuan kedua di kilang berkenaan dan menahan 31 orang lagi.

Katanya, siasatan awal mendapati semua mangsa dibayar gaji sebuah agensi pekerjaan di Pulau Pinang untuk bekerja di kilang berkenaan tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja sah selain memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang palsu. 

“Kami turut mengesyaki ejen (pemilik agensi pekerjaan) tidak membayar gaji penuh kepada semua PATI berkenaan meskipun mereka bekerja melebihi masa ditetapkan.

“Semua mangsa sepatutnya dibayar RM80 sehari berdasarkan perjanjian antara kilang dan ejen, tetapi rata-rata mereka menerima RM38 hingga RM42 sehari daripada ejen terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Annadurai berkata, susulan penahanan semua warga asing itu, seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai bekerja di agensi berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kami turut merakam percakapan pemilik premis namun dia memaklumkan gaji pekerja dibayar terus kepada ejen dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12, 13 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp