Categories : Jenayah

 

SENJATA dan peralatan yang dirampas daripada suspek.

MANJUNG: Seorang anggota polis terpaksa melepaskan sedas tembakan sebelum menahan lelaki yang menghayunkan parang ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di kawasan Kampung Banjar, Ayer Tawar, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, anggota polis berpangkat koperal itu mengejar suspek berusia 50 tahun yang bekerja sebagai tukang paip selepas dia enggan berhenti di satu sekatan jalan raya di Jalan Besar, Ayer Tawar, malah memecut laju motosikal jenis Honda EX5 dan cuba merempuh anggota polis yang bertugas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, anggota polis berkenaan mengejar suspek namun ketika menghampirinya, suspek bertindak membaling beg plastik berwarna hijau mengandungi peralatan pecah rumah hingga mengenai pada lengan kiri anggota polis terbabit.

“Anggota polis itu terus mengejar suspek hingga ke kawasan Kampung Banjar, Ayer Tawar sebelum suspek melibas parang beberapa kali ke arah anggota polis sehingga sehingga mengancam nyawa.

“Bagi mempertahankan diri, anggota berkenaan bertindak melepaskan satu das tembakan mengenai lutut kanan suspek menyebabkannya terjatuh bersama motosikalnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tian Kee berkata, pemeriksaan pada tubuh suspek, polis menemui lima paket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 6.5 gram dan satu paket lutsinar mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 0.2 gram.

Katanya, turut dirampas sebilah parang dan pemeriksaan terhadap motosikal ditunggang suspek mendapati nombor enjin ditukar manakala nombor casis tiada dalam rekod.

“Semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan curi dan pecah rumah.

“Suspek kini dirawat di Hospital Seri Manjung dan doktor yang merawat mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek esok untuk siasatan lanjut,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp