Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) bersetuju menambah kekerapan perjalanan tren dan pemasangan WiFi di Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PRASARANA, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, berkata tindakan ini antara maklum balas yang diterima daripada pengguna MRT-SBK Fasa 1 dan MRT-SBK Fasa 2, yang dibuka kepada orang ramai bermula semalam.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan PRASARANA mengenai apa yang pengguna suka adalah menambah kekerapan perjalanan tren di kawasan yang ada permintaan tinggi. Kedua, pengguna mahu WiFi.

“Kita akan lihat sambutan yang ada. Insya-Allah kita (PRASARANA) akan sediakan,” katanya pada sidang media Tinjauan MRT-SBK Fasa 2 bersama media di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Azmi berkata seramai 100,000 pengguna MRT direkodkan selepas 27 jam beroperasi bermula jam 4 petang semalam.

Ketika ditanya kegagalan kaunter tiket di Stesen Kajang pagi ini, Azmi berkata ia masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, namun sudah diselesaikan pagi tadi.  

MRT-SBK dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, mengandungi 19 stesen baharu dengan kekerapan perjalanan setiap tujuh minit.

Tujuh daripada stesen jajaran sepanjang 51 kilometer itu terletak di bawah tanah.

Setiap tren bagi laluan SBK mempunyai empat gerabak dan mampu membawa 1,200 penumpang pada setiap perjalanan, dengan anggaran 400,000 penumpang sehari.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp