Categories : Jenayah

 

KETUA Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafa Ali bersama Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia, M. Saravana Kumar (kiri) meneliti dokumen perjalanan milik sebahagain daripada 125 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di dua lokasi di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. – Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menggempur dua pusat menjual gajet elektronik di Jalan Imbi di sini dan menahan 125 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di premis berkenaan.

Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan sah, pasport tamat tempoh dan menyalahgunakan pas.

Operasi bermula pada jam 3 petang dan berakhir dua jam kemudian itu turut disertai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi dibuat sebagai langkah dalam membendung kebanjiran warga asing yang dilihat semakin berleluasa hingga mengancam masyarakat setempat.

Katanya, keadaan menjadi lebih sukar apabila ada majikan tetap menggaji pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen lengkap.

“Di premis ini, pemilik memaklumkan pernah mengadakan perbincangan dengan penyewa bagi memastikan tiada PATI diambil bekerja.

“Bagaimanapun, mereka degil dan kita ambil tindakan terhadap kedua-dua pihak (majikan dan pekerja),” katanya pada sidang media selepas operasi, petang ini.

Sementara itu, beliau berkata sambutan pendaftaran kad sementara ‘Enforcement Card’ (E-Kad) PATI belum memuaskan apabila hanya 85,000 PATI didaftarkan setakat hari ini sejak program itu dilaksanakan pada 15 Februari lalu.

Angka itu, katanya, masih jauh daripada sasaran Jabatan Imigresen yang menjangkakan 400,000 hingga 600,000 PATI didaftar menjelang tarikh akhir program pada 30 Jun ini.

“Jabatan Imigresen tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran program. Majikan yang berdegil mendaftarkan pekerja akan diambil tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp